Rumah ranap dihempap pokok durian

Keadaan rumah yang ranap selepas dihempap pokok durian berusia lebih 80 tahun,setinggi 19 meter dalam kejadian di Kampung Petaseh Jelatang, di sini pada petang Jumaat. Gambar bawah: Pokok durian yang tumbang
Keadaan rumah yang ranap selepas dihempap pokok durian berusia lebih 80 tahun,setinggi 19 meter dalam kejadian di Kampung Petaseh Jelatang, di sini pada petang Jumaat. Gambar bawah: Pokok durian yang tumbang
A
A
A

JELEBU - Sebuah rumah ranap dihempap pokok durian berketinggian 19 meter dan berusia lebih 80 tahun dalam kejadian di Kampung Petaseh Jelatang, di sini pada petang Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu berlaku ketika hujan dan ribut petir.

Bagaimanapun insiden tidak membabitkan kemalangan jiwa susulan penghuninya berada di Senawang, Seremban.

Peniaga, Norhaslilee Ibrahim, 47, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran yang menghubunginya pada jam 5.40 petang, namun disarankan supaya tidak ke lokasi susulan keadaan tidak selamat.

"Saya hanya mampu bertenang dan pulang melihat keadaan rumah pagi tadi (Sabtu) namun terkejut melihat rumah musnah 100 peratus.

"Mujurlah ketika kejadian kami tidak berada di situ, anak perempuan saya yang berusia 16 tahun tinggal di asrama manakala bongsu bersekolah di Senawang. Dia mengikut saya berniaga di sini manakala suami bekerja di Johor Baharu," katanya pada Sabtu.

Mohd Zaffarin (kiri) ketika menyantuni Norhaslilee (tengah) di Kampung Petaseh Jelatang, Jelebu pada Sabtu.
Mohd Zaffarin (kiri) ketika menyantuni Norhaslilee (tengah) di Kampung Petaseh Jelatang, Jelebu pada Sabtu.

Norhaslilee berkata, kerugian dianggarkan lebih kurang RM100,000 selepas peralatan elektrik, perabot, motosikal serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Serena mengalami kerosakan.

Katanya, buat sementara mereka sekeluarga tinggal di inap desa berhampiran sebelum sebuah bengkel berdekatan kediamannya yang musnah dibaik pulih untuk dijadikan rumah sementara.

Artikel Berkaitan:

"Atap rumah ini diganti dengan kos RM6,000 ketika kerajaan membenarkan pengeluaran wang daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini," katanya.

Sementara itu, pelbagai pihak antaranya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR), UMNO Bahagian Jelebu dan penduduk kampung bergotong-royong menjalankan kerja pembersihan bermula pada jam 8.30 pagi Sabtu.

Sementara itu Penghulu Mukim Pertang, Mohd Zaffarin Abdul Malek berkata, pembinaan semula rumah berkenaan akan diputuskan dalam satu mesyuarat sama ada menggunakan peruntukan daripada Tabung Bencana Darurat Negeri atau peruntukan Pejabat Parlimen.

Bagaimanapun katanya, ketika ini, keutamaan adalah bagi memastikan kebajikan ahli keluarga yang terjejas termasuk mencari penempatan sementara pada hari ini..

"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Jelebu juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!