Lapan anggota FRU mengaku tidak bersalah simpan pelanduk

Lapan anggota polis daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyimpan hidupan liar yang dilindungi iaitu lapan bahagian pelanduk tiga tahun lalu.
Lapan anggota polis daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyimpan hidupan liar yang dilindungi iaitu lapan bahagian pelanduk tiga tahun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Lapan anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyimpan hidupan liar yang dilindungi iaitu lapan bahagian pelanduk tiga tahun lalu.

Tertuduh Rusli Che Omar, 42; Jafri Md Taib, 49; Mohamed Khalid Ibrahim, 50; Azaruddin Yahaya,40; Mohd Izammudin Zainol,38; Mohd Yusof Mohamed Yunos,39; Mahadir Osman,41 dan Jasius Joseph, 36 membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim, Mazni Nawi.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didapati menyimpan tanpa lesen lapan bahagian pelanduk (tragulus javanicus) iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di dalam sebuah tong Coleman yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan jenis Land Rover.

Anggota Penguat kuasa Jabatan Perhilitan membawa barang bukti dalam kes pertuduhan lapan anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menyimpan bahagian badan pelanduk tanpa lesen tiga tahun lalu.
Anggota Penguat kuasa Jabatan Perhilitan membawa barang bukti dalam kes pertuduhan lapan anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menyimpan bahagian badan pelanduk tanpa lesen tiga tahun lalu.

Perbuatan itu dilakukan mereka pada 17 Januari 2021 jam lebih kurang 1 petang di jalan besar Kampung Talang, Empangan Talang, Kuala Pilah.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 60(1)(b), Akta 716 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 60(1) Akta 716.

Seksyen tersebut memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Amanina Mohamad Anuar menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Peguam Hanif Hassan mewakili tertuduh Jafri manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam merayu wang jaminan sebanyak RM2,000 kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang dan sebutan semula bagi serahan dokumen pada 12 Jun depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!