Projek kereta kabel Bukit Bendera dijangka bermula awal Jun

Kereta Kabel Bukit Bendera akan bermula dari Taman Botani Pulau Pinang hingga ke puncak bukit. Gambar kecil: Zairil
Kereta Kabel Bukit Bendera akan bermula dari Taman Botani Pulau Pinang hingga ke puncak bukit. Gambar kecil: Zairil
A
A
A

GEORGE TOWN - Projek kereta kabel Bukit Bendera bernilai hampir RM300 juta akan dimulakan dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi selepas diberikan kebenaran merancang untuk memulakan kerja oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, sebelum ini, projek itu juga telah mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, ketika ini, Perbadanan Bukit Bendera sedang menjalankan Penilaian Impak Trafik untuk membolehkan projek itu dijalankan.

"Kita menjangkakan projek ini akan dimulakan antara hujung Mei hingga awal Jun tahun ini. Ini kerana, kita sudah mendapat semua kelulusan termasuk Laporan EIA dan kebenaran merancang yang diperoleh pada Januari lalu.

"Projek tersebut dibiayai oleh inisiatif pembiayaan swasta (PFI) yang akan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk pembinaannya. Ia akan bermula di Taman Botani Pulau Pinang dan terus naik ke puncak Bukit Bendera.

"Ia meliputi 2.7 kilometer dengan tempoh perjalanan hampir sama dengan perkhidmatan funikular iaitu 10 minit," katanya ketika ditemui di Karnival Raya Parlimen Bukit Bendera di sini pada Ahad.

Zairil menambah, pembinaan projek kereta kabel itu merupakan satu lagi mod pengangkutan untuk pengunjung naik ke puncak bukit peranginan tersebut.

"Apabila projek ini siap, ia akan menyediakan satu lagi mod pengangkutan ke puncak selain perkhidmatan funikular sedia ada. Ini bagi mengelakkan kesesakan terutamanya ketika musim perayaan atau cuti sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Dengan terbinanya projek ini, ia merupakan satu lagi projek Kerajaan Pulau Pinang untuk mewujudkan produk pelancongan bertaraf antarabangsa di Bukit Bendera dengan tersedianya restoran serta produk-produk pelancongan," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan sistem Kereta Kabel Bukit Bendera akan disedia dan dilaksanakan oleh sebuah syarikat peneraju pasaran global dalam kejuruteraan laluan kereta kabel iaitu The Doppelmayr Group.

Syarikat berkenaan telah membina lebih 86 pemasangan kereta kabel yang terletak di tapak Warisan UNESCO, Geopark dan Biosfera serta Taman Negara di pelbagai negara seluruh dunia.

Dalam pada itu, Zairil menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa projek berkenaan akan merosakkan alam sekitar di sekitar kawasan Bukit Bendera.

"Kerajaan negeri sentiasa mematuhi semua garis panduan, prosedur. Tiada satu pun undang-undang yang kita tidak patuhi. Projek ini satu projek mesra alam yang mana kesan terhadap alam sekitar amat kurang.

"Bilangan pokok yang ditebang pun sangat kurang, malah kita akan pastikan tiada pokok warisan yang akan disentuh," tegas Zairil," katanya.

Zairil menambah, Kerajaan Pulau Pinang memilih kereta kabel sebagai mod pengangkutan kedua di Bukit Bendera berikutan ia merupakan mod pengangkutan paling mesra alam di dunia.

"Kita memilih untuk buat kereta kabel di Bukit Bendera kerana ia merupakan mod pengangkutan paling mesra alam di dunia kerana ia tidak memerlukan 'track', cuma tiang dan rod sahaja.

"Banyak negara UNESCO seperti Eropah dan China, mereka menggunakan kereta kabel ini," katanya.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sebelum ini menyatakan kebimbangan mereka terhadap Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, dengan pelaksanaan projek tersebut, ia akan meningkatkan bilangan pengunjung dalam satu-satu masa, yang mana jika mengikut Rancangan Kawasan Khas (SAP), kapasiti pengunjung untuk kawasan bukit adalah terhad.

Menurutnya, projek itu juga akan merosakkan alam sekitar selain mengubah suasana kawasan peranginan itu kepada suasana yang sangat dikomersialkan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!