Projek HSR: Lelaki gagal tuntut ganti rugi RM1 juta

Seorang lelaki gagal menuntut ganti rugi RM1 juta bagi setiap rakyat Malaysia berhubung pembatalan projek Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) selepas Mahkamah Tinggi, di sini membatalkan saman tersebut pada Jumaat. - Gambar hiasan
Seorang lelaki gagal menuntut ganti rugi RM1 juta bagi setiap rakyat Malaysia berhubung pembatalan projek Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) selepas Mahkamah Tinggi, di sini membatalkan saman tersebut pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki gagal menuntut ganti rugi RM1 juta bagi setiap rakyat Malaysia berhubung pembatalan projek Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) selepas Mahkamah Tinggi, di sini membatalkan saman tersebut pada Jumaat.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan kerajaan dan empat tokoh politik supaya membatalkan saman yang difailkan Mohd Hatta Sanuri.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Roz Mawar berkata, saman Mohd Hatta, 47, merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah tiada hak di sisi undang (locus standi) untuk memulakan saman.

Menurutnya, keupayaan lelaki itu selaku plaintif untuk mewakili kepentingan semua warganegara Malaysia, tidak disokong oleh undang-undang berkaitan.

Beliau berkata, pernyataan tuntutan tidak menunjukkan bahawa, plaintif terjejas atau mengalami kerugian dengan tindakan yang diambil dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku defendan pertama dan kedua.

Selain dua tokoh itu, turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kerajaan.

“Selain itu, plaintif yang mendakwa mewakili rakyat Malaysia, gagal untuk mendedahkan dalam pernyataan tuntutannya bahawa dia sememangnya diberi kuasa atau dilantik untuk mewakili setiap pembayar cukai.

“Jadi, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan dan empat tokoh politik itu untuk membatalkan saman terbabit,” katanya sambil memerintahkan Mohd Hatta membayar kos RM10,000.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Hatta mendakwa Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri ketujuh telah melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatan awam apabila mengambil keputusan menangguhkan projek HSR, menyebabkan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Singapura hampir RM46 juta.

Artikel Berkaitan:

Plaintif juga mendakwa Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri kelapan turut cuai dan menyalah guna jawatan awam apabila menamatkan projek berkenaan sehingga kerajaan dan semua rakyat Malaysia, termasuk plaintif selaku pembayar cukai perlu mengeluarkan wang RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan Perjanjian Dua Hala antara Malaysia dan Singapura yang dipersetujui.

Dakwa plaintif, Mustapa yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek itu telah melakukan kecuaian ketika menangguhkan projek tersebut sehingga menyebabkan wang negara perlu dikeluarkan sebanyak RM46 juta.

Selain itu, Mohd Hatta mendakwa Ka Siong juga cuai semasa menguruskan projek tersebut yang merupakan pengangkutan awam bagi rakyat Malaysia sehingga mendatangkan kesusahan dan kerugian berjumlah RM46 juta dan RM320,270,519.24 kepada rakyat Malaysia, sekali gus menafikan hak rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan kelas pertama di peringkat antarabangsa yang pantas, selamat dan murah.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia telah membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.