Tragedi kereta kabel di Turkiye: Tiada rakyat Malaysia terlibat

Pasukan penyelamat menjalankan operasi menyelamat dan membantu mangsa cedera dalam kemalangan kereta kabel di daerah Konyaalti, Antalya pada Jumaat. Foto AFP/ DHA (Demiroren News Agency
Pasukan penyelamat menjalankan operasi menyelamat dan membantu mangsa cedera dalam kemalangan kereta kabel di daerah Konyaalti, Antalya pada Jumaat. Foto AFP/ DHA (Demiroren News Agency
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam kemalangan kereta kabel di daerah Antalya, Turkiye pada Jumaat.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, sedang memantau secara rapi perkembangan kemalangan itu.

"Malaysia merakamkan rasa simpati kepada mangsa dan keluarga yang terjejas.

Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Untuk sebarang bantuan konsular, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul boleh dihubungi melalui talian disediakan," katanya.

Media antarabangsa melaporkan, sekurang-kurangnya seorang terbunuh, tujuh cedera dan hampir 200 yang lain terkandas dalam kabin di udara apabila tiang yang menyokong kereta kabel tumbang di Antalya, Turkiye pada Jumaat.

Imej di media Turkiye menunjukkan kereta kabel yang rosak 'tergantung' di sisi gunung berbatu, manakala kakitangan perubatan merawat mangsa yang cedera.

Difahamkan, kereta kabel itu membawa pelancong dari pantai Konyaalti ke restoran dan platform melihat di puncak Tunektepe setinggi 618 meter.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan maklumat di laman web, kereta kabel itu mempunyai 36 kabin dengan setiap satu boleh memuatkan enam orang.

Secara purata, ia memerlukan sembilan minit untuk ke puncak Tunektepe yang dilengkapi kemudahan bagi menikmati pemandangan indah bandar Antalya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28