Ibu tunggal hasilkan 500 biji kuih sehari untuk tanggung keluarga

Zarni Yuherlina menunjukkan gambar keluarganya bersama arwah suami beberapa tahun lalu.
Zarni Yuherlina menunjukkan gambar keluarganya bersama arwah suami beberapa tahun lalu.
A
A
A

MELAKA - Suasana Ramadan dan Syawal kali ini pasti berbeza bagi seorang ibu tunggal dari Kampung Bukit Beruang, di sini, apabila tidak lagi dapat menjalani ibadah itu bersama suami tercinta yang meninggal dunia pada Syawal tahun lalu.

Ibu kepada empat orang anak, Zarni Yuherkina Nasharuddin, 47, berkata, dia masih tidak dapat dilupakan insiden tong gas terbakar dalam rumah sewa mereka hingga mengakibatkan Allahyarham suaminya, Zulkarnaeni Lubis, 50, melecur kira-kira 48 peratus dari muka hingga bahagian badan.

Menurutnya, disebabkan kejadian itu, dia hampir tidak dapat meneruskan aktiviti membuat kuih-muih bagi menambahkan pendapatan keluarga lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dia tidak bekerja sebagai pembantu kedai makan.

Namun katanya, anak sulung lelakinya yang kini belajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta dalam bidang perubatan sering menasihatinya agar terus kuat demi kelangsungan hidup memandangkan dia kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

"Setiap kali ke dapur menyediakan kuih-muih untuk hantar ke kedai orang, saya pasti teringat insiden itu bukan mudah untuk melupakannya.

"Tapi anak kata, sampai bila nak bersedih, kita susah jangan meminta pada orang dan kata-kata itu yang membuatkan saya terus kuat kerana anak-anak," katanya ketika ditemui di sini, pada Khamis.

Zarni Yuherlina menunjukkan sebahagian kuih yang dihasilkan untuk dijual sepanjang Ramadan.
Zarni Yuherlina menunjukkan sebahagian kuih yang dihasilkan untuk dijual sepanjang Ramadan.

Tambahnya, setiap hari akan menghasilkan kira-kira 500 biji kuih pelbagai jenis seperti kuih karipap, donut, ketayap, keria dan cara bagi menyara empat orang anak berusia 19,17, 13 dan 10 tahun yang masih belajar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, meskipun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 setiap bulan, namun tidak mencukupi ditambah pula bayaran sewa rumah berjumlah RM450 dan perbelanjaan lain.

"Anak-anak faham, tahun ni kami pun tak pergi ke bazar Ramadan dan kalau arwah ada dialah yang akan bawa mereka.

"Ramadan tahun ini memang kami sambut sederhana sahaja, tapi tidaklah sehingga terputus makanan dan yang penting ada lauk untuk sahur serta berbuka," katanya.

Jelasnya, kebiasaan sehari dia boleh mendapat RM180 hasil daripada menjual kuih namun itu belum ditolak dengan kos-kos lain seperti kos bahan mentah dan modal pusingan niaga.

"Dengan kos bahan mentah yang meningkat, adakalanya keuntungan bersih hanya RM50 sehari dan dengan wang itu saya kirimkan kepada anak sulung setiap minggu untuk perbelanjaannya di sana," katanya.

Orang ramai yang ini menghulurkan sumbangan berbuat demikian menerusi akaun bank 6928208203 atas nama Zarni Yuherlina.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28