Ibu tunggal agih 4,000 baju raya terpakai percuma

Fatimah menunjukkan baju kurung yang terdapat warungnya untuk diberikan percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Fatimah menunjukkan baju kurung yang terdapat warungnya untuk diberikan percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang ibu tunggal mengambil inisiatif mengagihkan lebih 4,000 baju raya terpakai secara percuma di Warung Mama Ria, Kampung Sentosa di sini sejak 13 Mac lalu bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Ibu tunggal, Fatimah Halid, 44, melakukannya selepas menyedari bukan semua orang berkemampuan membeli baju raya baharu dan usaha itu sudah masuk tahun keempat pada tahun ini menyasarkan golongan asnaf dan mereka yang terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi.

Lebih 4,000 baju raya terpakai diberikan secara percuma di Warung Mama Ria, Kampung Sentosa, Pasir Gudang.
Lebih 4,000 baju raya terpakai diberikan secara percuma di Warung Mama Ria, Kampung Sentosa, Pasir Gudang.

Menurutnya, semua baju raya percuma itu masih dalam keadaan baik dan bersih dengan mempunyai pelbagai saiz daripada kanak-kanak sehingga dewasa.

"Selain pakaian untuk kanak-kanak hingga dewasa, kami juga mengumpul selipar, kasut, tudung, songkok, kuih raya dan kerepek.

"Sambutan amat menggalakkan, ada yang sanggup datang dari Megah Ria, Masai, Plentong, Pasir Gudang dan Ulu Tiram untuk memilih baju raya. Setakat ini kira-kira 1,000 baju raya percuma sudah diagihkan.

"Mereka yang datang itu menyatakan terpaksa berjimat kerana perlu membiayai keperluan lain termasuk persekolahan anak, sewa rumah, perubatan mahupun kos membaik pulih kenderaan," katanya ketika ditemui pemberita di warungnya pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata, setiap pakaian ditawarkan itu berharga RM5 hingga RM50 sekiranya dibeli di kedai 'bundle' dan sumbangan baju raya itu datang daripada ramai individu dan pelbagai pihak termasuk daripada mereka yang tidak dikenalinya.

Orang ramai memilih baju raya percuma yang terdapat di Warung Mama Ria, Kampung Sentosa, Pasir Gudang.
Orang ramai memilih baju raya percuma yang terdapat di Warung Mama Ria, Kampung Sentosa, Pasir Gudang.

Katanya, usaha tersebut dilakukan kerana sepanjang bulan Ramadan warung miliknya yang menjual sarapan pagi tidak beroperasi selain simpati dengan golongan tersebut kerana dirinya pernah menempuh kesusahan kehidupan.

Ibu kepada tujuh cahaya mata berusia 12 hingga 26 tahun itu berharap orang ramai akan terus menyumbang pakaian supaya mereka yang tidak berkemampuan akan bergembira dengan mempunyai baju raya pada 1 Syawal nanti.

"Senyuman mereka yang mampu memiliki sekurang-kurangnya sehelai baju raya untuk dibawa pulang adalah tidak ternilai. Saya rasa amat bahagia dan tenang kerana sebelum ini pernah hidup susah," katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Siti Kartini Abdullah, 55, dia bersyukur apabila diberi peluang mendapatkan baju raya bagi ahli keluarganya.

Setakat ini kira-kira 1,000 baju raya percuma sudah diagihkan.
Setakat ini kira-kira 1,000 baju raya percuma sudah diagihkan.

"Saya mewakili keluarga datang ke sini kerana selama dua tahun kami tidak dapat membeli baju raya untuk anak kerana masalah kewangan.

"Saya mengetahui inisiatif ini menerusi Facebook dan harap amal jariah ini diteruskan pada masa depan," katanya.

Seorang lagi suri rumah, Farisya Mazalan, 28, yang tinggal di Masai dan memiliki tiga cahaya mata bersyukur dengan sumbangan baju raya terpakai itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28