Proses 200kg ubi kayu sehari hasilkan 8 jenis kuih

Zarin Ernyza (kanan) dan Imman Shafiq (kiri) menunjukkan kuih berasaskan ubi kayu yang dihasilkan.
Zarin Ernyza (kanan) dan Imman Shafiq (kiri) menunjukkan kuih berasaskan ubi kayu yang dihasilkan.
A
A
A

KOTA BHARU - Keenakan ubi kayu yang dimakan semasa musim banjir dimanfaatkan seorang ibu dua anak untuk menambah pendapatan dengan memproses 200 kilogram (kg) bahan itu kepada lapan jenis kuih tradisional setiap hari.

Wanita itu, Zarin Ernyza Mat Salleh, 32, menghasilkan kuih-muih terdiri daripada boko ubi kayu, ubi kayu tonyoh, pengat, sira, bubur chacha, poli ubi kayu dan tepung bungkus untuk dijual di sekitar Kota Bharu, Bachok serta Pasir Puteh.

Zarin Ernyza (kanan) dan Imman Shafiq (kiri) melakukan kerja-kerja mencuci ubi kayu bersama-sama.
Zarin Ernyza (kanan) dan Imman Shafiq (kiri) melakukan kerja-kerja mencuci ubi kayu bersama-sama.

Zarin Ernyza berkata, kuih-kuih tersebut dibuat menggunakan resipi warisan turun-temurun daripada ibunya, Zainab Daud, 73, bagi mengekalkan rasa asli orang lama.

“Saya mula berniaga pada tahun 2018 dan ketika itu hanya 50kg ubi digunakan untuk permulaan menjual kuih dalam sehari.

“Sekarang ubi yang digunakan meningkat antara 150kg hingga 200kg sehari kerana permintaan terhadap kuih berasaskan ubi kayu sangat tinggi pada musim hujan membolehkan saya meraih kira-kira RM500 hingga RM700 sehari,” katanya ketika ditemui di Kampung Telaga Bata dekat sini pada Selasa.

Menurut Zarin Ernyza, usaha itu dibantu suaminya, Imman Shafiq Ibrahim, 27, yang mengambil bekalan ubi dengan dibeli daripada hasil tanaman bapanya sendiri, Mat Salleh Hassan, 72.

Artikel Berkaitan:

Zarin Ernyza sibuk menyiapkan tempahan pelanggan seawal jam 4 pagi.
Zarin Ernyza sibuk menyiapkan tempahan pelanggan seawal jam 4 pagi.

Dia berkata, kebetulan bapanya ada menanam ubi di kawasan rumah mereka dan kini menjadi pembekal setianya bagi menghasilkan pelbagai jenis kuih-muih tradisional ubi kayu.

Ujar wanita itu, dia bangun awal pada setiap hari untuk menyiapkan pesanan termasuk tempahan tetap sebanyak 50 bekas kuih daripada pelanggan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada setiap hari bekerja manakala 150 lagi akan diagihkan kepada lebih 10 ejen untuk dijual.

“Bapa saya sekarang mempunyai tanaman ubi kayu seluas 0.2 hektar dan saya membahagikan keuntungan daripada hasil menjual kuih ini separuh kepadanya.

Imman Shafiq (kiri) turut tak menang tangan membantu mengisar ubi kayu untuk penyediaan kuih boko.
Imman Shafiq (kiri) turut tak menang tangan membantu mengisar ubi kayu untuk penyediaan kuih boko.

“Proses memasak kuih akan dimulakan seawal jam 4 pagi dengan memotong, membersihkan, memarut atau mengisar dan kemudian mengukus serta merebus ubi kayu,” katanya.

Menurut Zarin Ernyza, kuih-kuih tersebut dijual dengan harga antara RM4 hingga RM6 sebekas dan hanya usahakan pada musim tengkujuh bermula Oktober hingga Februari sahaja manakala pada waktu biasa dia berniaga makanan lain seperti kek secara dalam talian.