Bersatu Tanjong Karang digantung

Bersatu Tanjong Karang digantung susulan ketua bahagiannya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Nurul Syazwani Noh dan Noh Omar)
Bersatu Tanjong Karang digantung susulan ketua bahagiannya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Nurul Syazwani Noh dan Noh Omar)
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jawatankuasa Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang digantung susulan ketua bahagiannya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Srikandi Bersatu, Nurul Syazwani Noh berkata, status penggantungan itu dimaklumkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menghadiri siri jelajah Bersatu di Tanjong Karang pada 18 Mac lalu.

Sehubungan itu, katanya, jawatankuasa termasuk Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tanjong Karang baharu dijangka diumumkan dalam waktu terdekat.

"Insya-ALLAH ketua penaja bahagian baharu akan dilantik dan diumumkan selepas ini," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Pada 24 Januari lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga bekas Ketua Bersatu bahagian itu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi pemimpin blok pembangkang keenam yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada Selasa meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada kerajaan.

Bersatu sebelum ini meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti selepas memperoleh sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Mengulas mengenai kelulusan pindaan perlembagaan parti itu, Nurul Syazwani berkata, ia memberi ruang untuk melihat sama ada sokongan enam Ahli Parlimen masih kekal kepada Perdana Menteri atau kembali kepada Bersatu.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya (bekas Ketua Srikandi Muda) yang mewakili bahagian Tanjong Karang, kami akan terus bekerja untuk parti dan rakyat.

"Mesyuarat juga telah diadakan sebelum ini dalam membincangkan pelbagai perkara termasuk kemungkinan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK)," ujarnya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga pengamal undang-undang, Tan Sri Noh Omar berkata, semua Ahli Parlimen berkenaan masih ahli Bersatu dan terikat dengan perlembagaan parti.

Ujar beliau, apabila pindaan itu berkuatkuasa, mereka mempunyai pilihan sama ada mahu mengikut perlembagaan atau tidak.

"Jika tidak mengikutnya, mereka boleh digugurkan sebagai ahli parti namun bukannya dipecat," tambah beliau