'Kemelut Bersatu bakal selesai'

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Ahmad Fadhli
A
A
A

PASIR MAS - Pas melihat keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang meluluskan pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai langkah ke depan untuk parti itu menyelesaikan kemelut.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, melalui keputusan itu juga, Bersatu diharap dapat menyusun kaedah terbaik selepas mendapat kelulusan pelucutan keahlian wakil rakyat parti yang menyokong pihak bertentangan atau musuh.

Menurut beliau yang juga ahli Parlimen Pasir Mas, pihaknya yakin dengan kemampuan Bersatu dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Mereka yang dijangka bakal dikenakan tindakan lucut keahlian Bersatu.
Mereka yang dijangka bakal dikenakan tindakan lucut keahlian Bersatu.

“Bagi Pas tidak ada penyelesaian terbaik melainkan diadakan pilihan raya kecil (PRK) di semua enam kawasan yang dikhianati oleh ahli-ahli Parlimen terbabit selain di Dewan Undangan Negeri Nenggiri dan Selat Klang.

“Pas juga mengucapkan tahniah kepada Bersatu atas keputusan ini sekali gus sebagai satu langkah ke depan bagi menyelesaikan segala konflik,” katanya ketika ditemui di Kelar pada Rabu.

Enam ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Pada 2 Mac lalu, Bersatu melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa meminda perlembagaan parti itu bagi membendung wakil rakyatnya daripada memberi sokongan kepada lawan.

Artikel Berkaitan:

Pindaan membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Pindaan dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terkini, ADUN parti itu, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, mengulas kesediaan Pas berdepan PRK jika berlaku kekosongan kerusi-kerusi, Ahmad Fadhli berkata, parti tersebut sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

“Pas mengucapkan terima kasih dan menyambut baik keputusan daripada RoS.

“Pas siap sedia sepanjang masa dan mengetahui rakyat sekarang ini insya-Allah akan menolak Kerajaan Perpaduan (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) yang akan ditunjukkan dalam PRK nanti,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28