6 MP Bersatu sokong PM tidak perlu kosongkan kerusi - Johari

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-ketua Pengarang Media dan Agensi berkaitan urusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. Foto Bernama
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-ketua Pengarang Media dan Agensi berkaitan urusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu mengosongkan kerusi mereka dan status mereka kekal sebagai ahli Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ini kerana amalan itu bukanlah mendatangkan sebarang kesalahan disebabkan mereka masih ahli Bersatu.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan supaya mereka menyatakan secara bertulis bahawa masih kekal ahli parti tersebut dan tidak bertindak keluar parti.

"Pada saya selagi mereka kata mereka tidak 'lompat', dia tidak meninggalkan partinya, nyatakan secara bertulis yang mereka masih ahli Bersatu, dia sokong Perdana Menteri. Jadi apa masalahnya?," katanya kepada media sempena pertemuan khas di Parlimen di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, bagi mengelak sebarang konflik, Johari menawarkan ahli Parlimen tersebut sekiranya mereka ingin menukar tempat duduk di dalam Dewan Rakyat.

"Ada dalam peraturan mesyuarat, juga hak Yang Dipertua Dewan Rakyat, atas permohonan ahli Parlimen, saya boleh melayan permintaan mereka untuk tukar tempat duduk.

“Jika mereka mahu berpindah mereka boleh tulis kepada saya, email, atau mesej saya. Saya mahu pindah dari A ke B sebab saya tak suka jiran saya, atas sebab tertentu, selagi ada ruang," katanya lagi.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memutuskan meminda Perkara 10 dalam perlembagaan parti bagi menghalang insiden sama berulang, selain sedia berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan.