BN yakin 6 ahli Parlimen Bersatu terus sokong PM

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) yakin bahawa enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun terpaksa berhadapan dengan tindakan pengosongan kerusi berikutan pindaan perlembagaan parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau tidak nampak bahawa enam ahli Parlimen Bersatu itu tidak akan menyokong Perdana Menteri sebagaimana yang berlaku ketika ini.

Bagaimanapun katanya, jika enam ahli Parlimen berkenaan tidak lagi bersikap sedemikian ia hanya akan menunjukkan bahawa mereka itu sebenarnya tidak mempunyai prinsip.

"Saya tak nampak mereka kata tidak... kalau mereka kata tidak bererti mereka ini tiada prinsip.

"Bila nak sokong Perdana Menteri sokonglah... jadi, nanti mereka akan diberikan surat tunjuk sebab bahawa mereka tergugur keahlian, lepas itu tentulah pihak Bersatu menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat menyatakan bahawa enam ahli Parlimen itu telah tergugur keahlian dan kerusi mereka kosong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis sambutan Ulang Tahun ke- 20 Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) di sini pada Isnin.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu akan meletakkan calon di enam kawasan Parlimen yang ketika ini disandang Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, ia berikutan kawasan Parlimen Kuala Kangsar, Gua Musang, Labuan, Jeli, Bukit Gantang dan Tanjung Karang itu adalah kerusi tradisi parti diketuainya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihaknya akan melihat kepada keputusan mahkamah terlebih dahulu berhubung pindaan perlembagaan Bersatu berkaitan pengosongan enam kerusi parlimen berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, BN tidak bimbang untuk berdepan dengan pilihan raya itu kerana telah melaluinya banyak kali.

Katanya, beliau juga tahu mengenai proses yang akan berlaku sekiranya Bersatu menghantar surat kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung enam ahli Parlimennya itu.

"Saya tidak nampak ianya ada halangan... dulu saya Setiausaha Agung UMNO pernah berurusan dengan RoS, perlu mengikut segala prosedur dan akan lulus pindaan Bersatu.

"Selepas itu, saya kira apa yang akan dilakukan oleh Bersatu adalah perlu menghantar surat tunjuk sebab terhadap enam ahli Parlimen itu," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28