Kereta baharu alami kerosakan, apa hak pengguna?

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

BUKAN kali pertama berlaku apabila kereta yang baharu dibeli mengalami kerosakan.

Pada Oktober tahun lalu, kereta milik seorang wanita dilaporkan rosak dalam masa lapan jam selepas dibeli.

Terbaru, seorang lelaki tampil meluahkan rasa kecewa apabila kereta yang dibeli pada 2023 rosak pada bahagian enjin selepas melakukan penyelenggaraan bagi jarak 20,000 kilometer (km).

Lebih malang apabila dia mendakwa tidak boleh membuat sebarang tuntutan waranti dan terpaksa membayar sendiri kos pembaikan kenderaan sebanyak RM13,000.

Sedangkan, terdapat satu jaminan tersirat dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999, bahawa pengguna mempunyai hak untuk membeli kenderaan yang selamat, bebas daripada sebarang kecacatan atau rosak.

Jika berlaku masalah dengan kenderaan dalam tempoh waranti, pengguna haruslah menghantar kenderaan itu ke pusat perkhidmatan dan pengguna tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk kerja-kerja pembaikan.

Sekiranya masih tidak berpuas hati, pengguna boleh meminta syarikat pengedar atau pengeluar kenderaan untuk memberi lanjutan waranti jika masalah berlaku lebih dua kali.

Menerusi pencarian penulis, selain Akta Pengguna 1999, terdapat juga akta lain yang boleh digunakan untuk melindungi kepentingan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Seksyen 15 Akta Jualan Barang 1957 memperuntukkan, jika ada suatu kontrak bagi penjualan barang dengan menggunakan perihal wujud syarat tersirat bahawa barang itu haruslah bersesuaian dengan keterangan.

Seksyen 16 pula memperuntukkan bahawa jika barang yang dibeli berdasarkan penerangan daripada penjual yang berkaitan dalam barang daripada perihal itu (sama ada dia adalah pengilang, pengeluar atau pengedar), wujud satu jaminan tersirat bahawa barang itu adalah daripada kualiti yang boleh diperdagangkan.

Namun peruntukan sedia ada tidak cukup untuk membela nasib pengguna sepenuhnya kerana itu kerajaan digesa segera melaksanakan undang-undang khas Lemon Law bagi mengatasi masalah kerosakan kereta baharu.

Undang-undang tersebut telah digubal di beberapa negara untuk melindungi pengguna daripada produk yang dibelenggu kecacatan atau ketidaksempurnaan serius.

Jika sesuatu produk itu rosak yang tidak boleh dibaiki dalam masa tertentu, biasanya dalam tempoh jaminan atau jika selepas begitu banyak pembaikan, ia masih tidak berfungsi maka pengguna berhak mendapatkan gantian produk baharu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28