[VIDEO] Kerajaan laksana Kajian Kebolehlaksanaan Lemon Law

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Lemon Law bagi memperkasakan hak pengguna di negara ini untuk menuntut ganti rugi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia meliputi pengguna menerima kenderaan bermotor yang rosak atau gagal mematuhi standard kualiti dan prestasi seperti dijanjikan pembekal serta tidak dapat dibaiki.

"Setelah kajian selesai, satu keputusan dasar di peringkat kementerian akan dibuat sebelum penambahbaikan langkah kerja perundangan dilaksanakan," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) semasa sesi Pertanyaan Menteri-Menteri, sama ada ‘Lemon Law’ akan diperkenalkan untuk melindungi hak pengguna dalam pembelian kenderaan baharu dan terpakai sekiranya berlaku kerosakan.

Lemon Law adalah satu undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi (redress) kepada pembeli kereta dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.

Armizan
Armizan

Antara remedi yang boleh dituntut oleh pengguna atau pembeli di bawah Lemon Law ini ialah pembaikan, penggantian, pengurangan harga atau pembayaran balik.

Tambah Armizan, cadangan agar Lemon Law tidak perlu melalui prosiding undang-undang seperti tribunal dan mahkamah agar pengguna dapat menuntut ganti rugi mereka, adalah satu opsyen yang boleh dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang dicadangkan oleh Kepong (Lip Eng) merupakan satu opsyen yang saya fikir kita boleh laksanakan sebagai tindakan segera sebelum kajian menyeluruh itu dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Ujar beliau, kajian kebolehlaksanaan yang dilaksanakan itu juga tidak bermakna kerajaan ingin memperkenalkan undang-undang baharu.

"Ia sama ada kita perkukuhkan akta perlindungan pengguna sedia ada dan kita tahu kajian ini mengambil masa.

"Kita dalam proses mempertimbangkan untuk meminda mana-mana undang-undang sedia (dan) memperkenalkan satu peraturan di bawah Akta 599 (Akta Perlindungan Pengguna 1999) untuk membolehkan proses tuntutan ini dibuat pada kadar segera.

“Setelah kajian selesai, satu keputusan dasar di peringkat kementerian akan dibuat sebelum penambahbaikan rangka kerja perundangan dilaksanakan,” katanya.

Jelas Armizan, di Malaysia buat masa ini peruntukan perundangan berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal atau pengilang sekiranya barangan yang dibekalkan gagal mematuhi gerenti yang ditetapkan telah termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] di bawah kawal selia KPDN.

Peruntukan di bawah Akta 599 yang berkaitan perkara ini adalah Bahagian V- Gerenti berkenaan Dengan Pembekalan Barang, Bahagian VI- Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti dalam pembekalan barang, Bahagian VII- Hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti dalam pembekalan barang dan Bahagian XII – Bidang Kuasa Tribunal Tuntutan Pengguna.

Katanya, peruntukan undang-undang bagi memelihara kepentingan hak pengguna di Malaysia telah diambil kira dengan jaminan untuk memperoleh barangan dengan kualiti yang munasabah dan hak untuk menebus rugi sekiranya barangan tidak mematuhi gerenti melalui peruntukan di bawah Akta 599.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28