Kajian Lemon Law perlu libat urus bersama pemegang taruh - Syahredzan

Syahredzan
Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian melibatkan pengenalan Lemon Law perlu merangkumi sesi libat urus bersama ahli-ahli Parlimen, pertubuhan hak pengguna, pengeluar, pengedar kereta, penjual kereta terpakai dan pemegang taruh lain.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, Lemon Law bukan suatu akta baharu dan telah dilaksanakan di negara-negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada, Filipina dan Singapura.

Ujar Syahredzan, meskipun kerajaan masih mengkaji Lemon Law, namun Malaysia boleh banyak belajar dengan negara-negara luar dari segi implementasi undang-undang tersebut.

“Di samping itu, penting untuk kementerian mempergiatkan lagi usaha untuk menerapkan kesedaran ramai mengenai hak-hak mereka sebagai pengguna.

“Saya berharap tidak lama lagi akan ada sinar buat pembeli kereta pada masa hadapan supaya mereka terlindung daripada situasi yang tidak diingini,” katanya ketika membangkitkan mengenai perkara tersebut di Kamar Khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, menurut beliau, pelaksanaan Lemon Law juga perlu merangkumi kenderaan terpakai dan menjadi tanggungjawab penjual untuk memastikan keadaan serta mutu kereta dalam keadaan baik sebelum menjualnya kepada pembeli.

“Tidak dinafikan rakyat kita mengalami kebergantungan tinggi kepada kereta persendirian. Pemilikan kereta menjadi satu keperluan bukan kemewahan.

“Tanpa perlindungan undang-undang, ada kemungkinan pembeli dibebani dengan kereta yang rosak dan tersadai di bengkel tetapi pada masa sama membayar bulanan kepada institusi peminjam,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28