Kerajaan disaran wujudkan undang-undang lebih tegas pelihara kesucian Islam

Kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mewujudkan undang-undang lebih tegas dalam pelihara kesucian Islam.
Kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mewujudkan undang-undang lebih tegas dalam pelihara kesucian Islam.
A
A
A

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta melihat semula prosedur operasi standard (SOP) untuk menggubal peruntukan undang-undang dalam Akta Perihal Dagangan 2011 dengan memperketatkan peruntukan undang-undang berkaitan penjualan barangan melibatkan sensitiviti agama Islam di negara.

Demikian susulan 13 Mac lalu, tular dalam media sosial berhubung kejadian pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) yang menjual stoking tertera kalimah ALLAH di Bandar Sunway Petaling Jaya, Selangor.

Perbuatan seperti ini seolah-olah sengaja merendahkan martabat Islam serta ingin mencabar kedaulatan Islam dan Perlembagaan khususnya undang-undang yang berkaitan dengan Islam dan umat Islam sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Rakyat Malaysia sedia maklum bahawa agama Islam adalah agama rasmi bagi negara dan statusnya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu satu dokumen undang-undang yang tertinggi di Malaysia.

Saya menggesa agar kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan undang-undang lebih tegas dalam pelihara kesucian Islam serta mengambil tindakan lebih berat terhadap mana-mana syarikat atau pihak yang cuba mencetuskan provokasi agama sehingga menggugat perpaduan dan keharmonian negara berbilang kaum di negara ini.

Saya memberi kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bawah pimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid untuk bekerjasama dengan KDN menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji dan memantau penjualan barangan melibatkan sensitiviti agama di semua premis perniagaan termasuk perniagaan atas talian bagi menangani isu penghinaan terhadap kesucian agama Islam.

Kalimah ALLAH merupakan lafaz tertinggi bagi umat Islam dan penjualan produk seperti ini amat menggores hati umat Islam.

Tindakan penghinaan tersebut jelas mencetuskan kemarahan, lebih-lebih lagi ia berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.

Artikel Berkaitan:

Siasatan itu perlu diteruskan kerana kalimah ALLAH yang tertera pada stoking adalah isu yang sangat sensitif bukan isu yang boleh dijadikan bahan gurauan oleh segelintir pihak.

Saya ingin memetik titah diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu.

Baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja-raja.

Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Kalimah ALLAH itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan.

Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguat kuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, turut berani tampil serta lantang bersuara memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Super Mart untuk memasang kain rentang di semua 881 cawangan kedai serbaneka itu di seluruh negara bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ALLAH serta menyeru umat Islam keseluruhan untuk memboikot dengan tidak berbelanja di rangkaian serbaneka KK Mart bagi memberi pengajaran serta mengambil tanggungjawab sosial susulan penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH.

Saya turut menyeru supaya lebih ramai golongan muda atau masyarakat berani tampil membetulkan keadaan bukannya menutup mata melihat penghinaan terhadap agama Islam yang telah berlaku dalam negara.

Paling saya bimbang, berdasarkan hasil dari penelitian sekiranya ia tidak dibendung sejak dari awal saya yakin dan percaya banyak lagi perbuatan unsur-unsur penghinaan seperti itu dikemudian hari sekiranya dibiarkan tanpa mengambil sebarang tindakan tegas dan ia akan menyebabkan terus dipersendakan.

*Mohamad Írfan Mohd Halmi ialah Pengerusi Kelab Bersetia Bersahabat (AZH) Kota Bharu merangkap AJK Pergerakan Pemuda UMNO Kota Bharu. Negeri Kelantan.