Stoking kalimah ALLAH: ADUN tak ada kuasa gubal undang-undang

Akmal Foto Bernama
Akmal Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang di bawah Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Parlimen.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa beliau ada mencadangkan kes berkaitan kalimah ALLAH pada stoking kaki untuk disiasat di bawah Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan.

“Cadangan itu ada saya utarakan selepas laporan polis dibuat pada hari pertama yang mana kita minta kes ini disiasat di bawah Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan.

“Kita turut mencadangkan agar akta ini boleh digubal untuk hukuman yang lebih berat, tetapi saya ini adalah ADUN, penggubalan undang-undang di bawah bidang kuasa Parlimen,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook.

Muhamad Akmal berkata demikian susulan menjawab tuduhan seorang pengguna media sosial yang mendakwa bahawa beliau hanya menunggang isu berkenaan kerana tidak mencari penyelesaian jangka masa panjang.

Susulan itu, beliau menjelaskan hal berkenaan menjadi punca umat Islam dipandang rendah kerana tidak mampu bersatu walaupun agama dihina hanya kerana perasaan iri hati yang mahu menunjukkan bahawa diri mereka lebih baik daripada lain.

“Bila kita lancarkan boikot kita pula dituduh paling hero. Salah ke saya buat kempen boikot?

Kempen menyedarkan sesama kita tentang perlu adanya tekanan keras untuk memberi pengajaran kepada mereka yang menghina agama Islam.

Artikel Berkaitan:

“Salah ke saya cuba memberi peringatan pentingnya kita perlu jayakan boikot ini setiap hari?

“Sama juga dengan kempen boikot barangan Israel yang dibuat sebelum ini oleh pemimpin lain, ke kempen boikot ini hanya boleh dibuat oleh pihak kamu baru dianggap betul dan bukan paling hero?” soalnya.

Jelas Muhamad Akmal, isu berkenaan bukan soal politik sebaliknya mengenai kesucian agama Islam dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memeliharanya.

Susulan itu, beliau menggesa untuk mengetepikan perbezaan ideologi politik ketika mempertahankan agama Islam, bangsa dan tanah air.

“Bagi saya, ini bukan soal siapa dapat keuntungan politik tetapi bagaimana kita mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin Islam terutama ketika agama kita dihina.

“Ambillah semua keuntungan politik itu kepada kamu dan parti yang kamu sokong kerana saya tidak mahu satu pun.

“Hanya satu permintaan saya, jangan kacau saya untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan tuduhan yang tidak elok. Bersangka baik adalah lebih baik,” katanya.

Pada Isnin, media melaporkan polis membuka dua kertas siasatan terhadap laporan berhubung isu itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan.

Sabtu lalu, Pengurusan tertinggi KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) menyatakan kesal dan meminta maaf berhubung penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah ALLAH.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28