Stoking kalimah ALLAH: PM mahu tindakan segera dilaksana ikut undang-undang

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil mengikut undang-undang ditetapkan berhubung penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di sini pada Rabu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan semua pihak agar tidak sesekali melakukan penghinaan terhadap agama Islam.

"Pandangan saya jelas, ada laporan keterlanjuran mesti ada tindakan segera, keputusan ikut jalur hukum dan maju terus, kenapa kita harus terperangkap dengan isu ini berpanjangan?

"Ada laporan ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama... apa lagi Islam, jadi jangan kita terus-menerus dengan perbincangan ini seolah-olah ia satu malapetaka besar di dalam negara,” katanya dan menambah sekiranya tindakan segera telah dilaksanakan, semua pihak perlu berlapang dada.

Baru-baru ini, video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah ALLAH tular menerusi media sosial yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka di Petaling Jaya, Selangor sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Pihak terlibat telah membuat permohonan maaf dan setakat ini, 80 laporan polis telah dibuat di seluruh negara. Polis juga sudah merakam keterangan lapan individu termasuk pemilik dan pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd berhubung isu itu.

Mengenai perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan Kerajaan Perpaduan mengenai isu itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, mana-mana pemimpin boleh memberikan pandangan, namun diingatkan agar tidak terlanjur menghukum dan mengikut pemikiran sempit.

"Dalam kerangka badan politik yang bebas dan demokratik, tidak boleh ikut sistem wala’ (kerana) dalam parti yang wala’ yang kekang pemikiran bebas, ia tidak izinkan... masalah ada, tindakan diambil dan maju terus,” katanya.

Konsep wala' yang diamalkan dalam sesebuah organisasi politik bermaksud kesetiaan.

Artikel Berkaitan:

Anwar menegaskan apa jua bentuk hukuman yang diberikan hendaklah dalam bentuk yang tidak melampau.

"Ada orang lakukan kesalahan seperti kita juga lakukan kesalahan, kadang-kadang kecuaian. Jadi, jangan ikut seolah-olah mendera orang lebih daripada yang sepatutnya,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28