Stoking tertera kalimah ALLAH: Zahid minta semua pihak patuhi titah Agong

Ahmad Zahid berucap di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Amin, Simpang Tiga di sini pada Rabu.
Ahmad Zahid berucap di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Amin, Simpang Tiga di sini pada Rabu.
A
A
A

NIBONG TEBAL - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati semua pihak agar mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan tidak berlebih-lebihan memberikan ulasan dalam isu berkaitan penjualan stoking yang tertera kalimah Allah.

Presiden UMNO itu menegaskan isu tersebut harus diselesaikan dengan sebaiknya supaya tidak timbul sebarang permasalahan, apatah lagi dikaitkan dengan sentimen 3R (agama, institusi diraja dan kaum) oleh segelintir pihak.

"Saya mematuhi titah Agong dan dalam keadaan ini, saya fikir jangan lagi bangkitkan perkara sensitif begini.

"Kita tahu bahawa ini satu pengajaran yang agak mahal. Banyak pihak yang merasakan bahawa permohonan maaf itu telah dibuat dan kita menganggap mereka tidak mengetahui dan mereka tidak ada tujuan pun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Al-Amin Simpang Tiga di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, siasatan dan lawatan oleh pihak pengilang mendapati stoking tersebut bukan keluaran kilang tersebut sebaliknya ia barangan import dari China.

Pada masa sama, beliau juga berharap perkara itu dijadikan sebagai pengajaran dan diselesaikan sebaik mungkin supaya ia tidak disalah tafsir dan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Sebelum ini, KK Mart memohon maaf apabila didapati stoking tertera kalimah ALLAH dijual di cawangannya di Bandar Sunway dan kejadian itu tular di media sosial.- Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28