Stoking kalimah ALLAH: 10 NGO berhimpun secara aman depan kilang

Firdaus (empat dari kanan), Mohd Khan (tiga dari kanan) dan lebih 50 anggota daripada 10 NGO mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kilang Xin Jian Chang Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat pada Rabu.
Firdaus (empat dari kanan), Mohd Khan (tiga dari kanan) dan lebih 50 anggota daripada 10 NGO mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kilang Xin Jian Chang Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Lebih 50 anggota yang mewakili 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara mengadakan perhimpunan aman berkenaan isu kalimah ALLAH di hadapan Kilang Xin Jian Chang Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Sri Gading di sini pada Rabu.

Sepuluh NGO terbabit antaranya Pertubuhan Ikatan Sahabat-sahabat Perjuangan Nusantara (Insan), Kasih Melayu Islam Bersaudara, Persatuan Akhlak Telaga Jiwa Malaysia, Persatuan Kebajikan Intergriti Persahabtan Nasional, Sahabat Semboyan Johor, Klang Brotherhood, SSM Melaka dan Pertubuhan Baihu Malaysia mengadakan perhimpunan berkenaan selama kira-kira 30 minit.

Bagaimanapun selepas perhimpunan aman itu, hasrat mereka untuk menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan kilang tersebut tidak kesampaian berikutan ditutup pada Rabu.

Jurucakap kumpulan NGO tersebut, Muhammad Firdaus Adnan berkata, memorandum itu merupakan peringatan kepada semua pihak berkaitan supaya tidak sekali-kali bermain dengan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

"Dalam memorandum ini kita menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang murka. Kita beri amaran supaya perkara ini tidak berlaku lagi. Disebabkan kita ini negara yang majmuk, isu agama atau pun 3R tidak sepatutnya dimainkan lagi sebab kita dah ada akta," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, perhimpunan aman itu juga bertujuan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang terlibat dalam mengedarkan stoking tertera kalimah ALLAH.

Beliau yang juga Presiden Insan meminta pihak berkuasa tidak berlembut dengan permohonan maaf yang dilakukan pihak pengurusan kilang tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sepuluh NGO dari seluruh negara mengadakan perhimpunan aman mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan mengenakan hukuman berat kepada mereka yang terlibat mengedarkan stoking tertera perkataan ALLAH.
Sepuluh NGO dari seluruh negara mengadakan perhimpunan aman mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan mengenakan hukuman berat kepada mereka yang terlibat mengedarkan stoking tertera perkataan ALLAH.

"Kami sama sekali tidak menerima permohonan maaf mereka. Kami mahu mereka yang terlibat dihukum dengan hukuman paling berat mengikut undang-undang sedia ada supaya jadi pengajaran kepada semua pihak.

"Kami semua menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya isu ini ditangani dengan tegas," katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Kasih Melayu Islam Bersaudara, Mohd Khan Mohd Salleh berkata, permohonan maaf pihak terbabit tidak perlu dilayan sama sekali.

"Kita datang sini untuk menyatakan bahawa kita tidak menerima sebarang permohonan maaf. Ini isu kalimah ALLAH, kalimah suci yang paling tertinggi sekali dalam kalangan umat Islam.

"Dengan semudah-mudahnya hanya sekadar satu perkataan memohon maaf dan perkara ini telah berlaku banyak kali. Kami datang beramai-ramai menyatakan bahawa ini adalah satu amaran terakhir," ujarnya.

Terdahulu pihak pengurusan kilang tersebut, Xin Jian Chang Sdn Bhd tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia menerusi kain rentang yang digantung di pintu pagarnya, pada Rabu.

Pada kain rentang berkenaan juga pihak kilang berjanji akan memastikan sensitiviti masyarakat berbilang agama terjaga, keharmonian terpelihara selain meningkatkan usaha bagi kawalan kualiti.

Kilang yang terlibat dengan pengedaran stoking itu juga didapati tidak beroperasi pada Rabu.

Sebelum itu, polis telah merakam keterangan lapan individu termasuk Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart), Datuk Seri Dr KK Chai bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di sebuah kedai rangkaian serbaneka di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam kenyataan memaklumkan, keterangan kesemua individu berkenaan diambil kira-kira jam 12.30 tengah hari, Selasa.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28