Pengikut Ayah Pin cuba rekrut ahli baharu dari luar Terengganu

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara pada 90-an dikesan cuba dihidupkan kembali dengan merekrut ahli baharu termasuk dari luar Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, hasil risikan mendapati ajaran itu kini mula dikembangkan di luar kawasan asalnya yang bermula di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

"Selepas kematian pengasas ajaran ini pada 2016, agak lama kumpulan ini menyepi dan kebelakangan ini wujud gerakan oleh pengikutnya yang mula cuba hidupkan kembali gerakan atau perjuangan Ayah Pin.

"Memang kita tidak nafikan terdapat dalam kalangan penyokong ajaran ini yang masih tegar dan berusaha untuk kembangkan kembali ajaran berkenaan.

"Hasil risikan bersama pihak keselamatan mendapati ajaran ini mula dikembangkan di luar Kampung Batu 13 iaitu merebak sehingga ke kawasan Jertih (Besut) dan juga di sebelah Pahang iaitu di Pekan dan Rompin," katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Jelasnya, pengikut ajaran tersebut cuba merekrut ahli-ahli baharu untuk bergabung dalam kelompok mereka yang mana sebelum ini turut mempunyai ahli dari luar Terengganu.

Sehubungan itu, katanya, pejabat Agama Daerah Besut telah mengambil langkah mengeluarkan pewartaan bagi memaklumkan mengenai penularan kembali ajaran sesat itu.

"Pada Jumaat lalu telah dibacakan pewartaan daripada pejabat Agama Daerah Besut bahawa ajaran tersebut semakin menular dan seluruh warga Besut perlu memastikan ahli keluarga atau kelompok kampung mereka tidak terlibat dengan ajaran Ayah Pin yang telah diwartakan sesat pada 1997," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Riduan, kerajaan negeri juga tidak akan berkompromi dengan ajaran itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam gerakan tersebut.

Jelas beliau, usaha untuk mendidik masyarakat giat dilakukan bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan ajaran Ayah Pin yang secara jelas bercanggah dengan Islam.

"Pihak pentadbiran daerah telah bermesyuarat dengan pihak keselamatan untuk menangani gerakan untuk menghidupkan kembali ajaran ini.

"Kita juga akan berusaha dan akan ambil tindakan tegas sehingga ke peringkat akar umbi supaya gerakan ini tidak disebarkan dan dikembangkan lagi sekali gus memastikan tidak wujud unsur yang mengancam keselamatan negara serta menggugat keselamat awam," katanya.

Mengulas mengenai latar belakang ajaran itu, Riduan berkata, sekitar tahun 2006 terdapat kira-kira 3,000 pengikut Ayah Pin di seluruh negara termasuk dari Pahang, Perak, Johor dan Lembah Klang.

Menurutnya, fahaman yang diwarisi pengasasnya, Ariffin Muhamad, 74 sebelum ini telah merekrut kelompok artis-artis termasuk anak seni dan model malah terdapat dalam kalangan pemimpin rakyat yang turut terpesong.

"Kesilapan dalam ajaran ini ialah mereka melakukan jalan pintas dalam beragama dimana ibadah sembahyang dan berpuasa hanya dilakukan dengan menggunakan niat.

"Mereka tidak pergi Mekah untuk melaksanakan rukun haji ke lima sebaliknya mereka hanya buat di rumah Ayah Pin di Hulu Besut," ujar beliau.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.

Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin di perkampungan berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

@sinarharianonline

Pengikut Ayah Pin cuba rekrut ahli baharu dari luar Terengganu #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Edisi #Terengganu #Agama #AjaranSesat #AyahPin

Du'a - Sami Yusuf