Ayam Teng Tok Jiring curi tumpuan

Mohd Lokman menunjukkan Ayam Teng Tok Jiring yang siap dibakar di gerainya dekat Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus pada Khamis.
Mohd Lokman menunjukkan Ayam Teng Tok Jiring yang siap dibakar di gerainya dekat Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERUS - Idea kreatif seorang peniaga yang membakar ayam di dalam tin aluminium berjaya mencuri tumpuan orang ramai setiap kali melalui Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Tok Jiring di sini.

Peniaga, Mohd Lokman Yusof, 37, berkata, dia menggunakan tin berkenaan sebagai dapur untuk membakar ayam bagi memastikan isi dan tekstur haiwan berkenaan lebih lembut dan tidak hangit.

Menurutnya, idea tercetus ketika berkhemah dengan menggunakan kaedah letak ayam dalam tin untuk dibakar.

"Tak sangka setelah dibakar dalam tin, rasa ayam ini sangat sedap dan dagingnya pula lembut serta lebih berjus.

“Jadi pada tahun 2016, kita mula berniaga ayam dibakar dalam tin selama satu jam di tepi jalan di Kampung Tok Jiring ini.

"Kaedah unik ini juga berjaya menarik orang ramai terutama pengunjung luar untuk singgah membeli,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Mohd Lokman melayan seorang pelanggan yang berkunjung ke gerainya dekat Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus pada Khamis.
Mohd Lokman melayan seorang pelanggan yang berkunjung ke gerainya dekat Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus pada Khamis.

Namun, katanya, juadah diberi nama Ayam Teng Tok Jiring itu hanya boleh didapati menjelang Ramadan.

Artikel Berkaitan:

“Kita hanya jual pada bulan Ramadan sahaja kerana pada masa itu ramai orang mencari ayam bakar untuk dijadikan hidangan berbuka puasa,” katanya

Justeru, tidak hairanlah jualan Ayam Teng Tok Jiring mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penduduk di sana.

Mohd Lokman berkata, jualannya pada Ramadan tahun lalu mendapat permintaan yang tinggi sehingga mencecah 100 ekor sehari.

“Ramai yang memberi pujian kerana ayam ini tidak seperti ayam golek lain terutamanya dari segi rasa dan aroma kerana kita menggunakan resipi serta sos sendiri.

“Selain itu, ayam yang dijual ini juga bersih kerana tidak terkena debu atau kotoran ketika dibakar,” ujarnya.

Bagaimanapun, jelasnya, dia terpaksa menaikkan harga ayam dijual kepada RM28 seekor berbanding RM26 seekor pada tahun lalu susulan kenaikan kos barang asas.

“Memang harga barang naik sekarang ini jadi agak mustahil untuk menjual ayam dalam tin pada harga yang sama seperti tahun lepas,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28