Pendedahan rakaman audio akhiri 'penderitaan rakyat': Patriot

Brigadier Janeral (Bersara) Datuk Mohamed Arshad Raji
Brigadier Janeral (Bersara) Datuk Mohamed Arshad Raji
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) memuji tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman perbualan telefon berkaitan kes skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Presidennya, Brigadier Jeneral (Bersara) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, tindakan SPRM itu dilihat sebagai langkah positif ke arah menjadikan institusi SPRM sebagai badan yang benar- benar bebas.

“Kami diberitahu, Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sendiri tidak dimaklumkan mengenai sidang akhbar tersebut.

"Ia adalah langkah positif ke arah menjadikan institusi SPRM sebagai badan yang benar-benar bebas,” katanya.

Menurutnya, pendedahan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi itu dilihat dapat 'mengakhiri penderitaan' rakyat.

Beliau, Patriot maklum bahawa tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mendedahkan rakaman berkenaan berkemungkinan sub judice dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

Katanya, sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang di pihak Latheefa, maka ia terserah kepada keputusan hakim, sekiranya perlu.

“Apa yang penting adalah untuk semua rakyat Malaysia mengakui bahawa jenayah yang sangat serius telah dilakukan oleh pemimpin tertinggi pentadbiran terdahulu dan memalukan oleh pegawai tertinggi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun pendedahan rakaman telefon melalui media itu tidak menambah apa-apa kepada perbicaraan berbanding keadaan sedia ada.

“Rakyat juga bosan dengan kes mahkamah yang berlarutan mengenai kemelut 1MDB (1Malaysia Development Berhad), sementara banyak lagi kes belum dibawa ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Latheefa dalam sidang medianya menyatakan rakaman perbualan yang didedahkan SPRM yang turut melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu sesuatu yang mengejutkan dan cubaan untuk menutup keadilan.

Rakaman tersebut melibatkan tindakan salah guna kuasa, pecah amanah, memalsukan dokumen, pendedahan maklumat sulit, ancaman keselamatan negara dan konspirasi jenayah.

Selain Najib, beliau turut menamakan Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa individu lain termasuk dua warga asing iaitu seorang kerabat diraja dan seorang ketua eksekutif sebuah syarikat daripada Timur Tengah sebagai individu yang dikatakan dan dirujuk dalam rakaman itu