Penduduk Bukit Kerayong derita guna jalan berlubang

Penduduk berkumpul secara aman bagi mendesak kerajaan Selangor menangani isu jalan rosak di Jalan Dato Miskon dan Jalan Hj Mohd Ikram di Kampung Bukit Kerayong.
Penduduk berkumpul secara aman bagi mendesak kerajaan Selangor menangani isu jalan rosak di Jalan Dato Miskon dan Jalan Hj Mohd Ikram di Kampung Bukit Kerayong.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor didesak menyelesaikan segera isu Jalan Dato Miskon dan Jalan Hj Mohd Ikram di Kampung Bukit Kerayong, di sini yang mengalami kerosakan teruk.

Rata-rata penduduk mendakwa, keadaan itu berpunca daripada kenderaan berat yang membawa lebih muatan melalui jalan tersebut setiap hari.

Seorang penduduk, Mohd Mahadzir Mohd Rahim, 48, berkata, keadaan jalan rosak menimbulkan kesulitan kepada pengguna yang melalui laluan berkenaan.

Mohd Mahadzir
Mohd Mahadzir

"Walaupun jalan ini dibaik pulih dan diturap beberapa kali, namun struktur jalan kembali berlubang dan membahayakan keselamatan pengguna," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Sabtu lalu, kira-kira 300 penduduk berkumpul secara aman bagi mendesak kerajaan Selangor menangani isu jalan rosak yang dihadapi penduduk sejak enam tahun lalu.

Mohd Mahadzir mendakwa, keadaan jalan raya itu juga menyebabkan kerosakan pada kenderaan.

"Laluan ini terlalu banyak lubang dan berbatu yang boleh menyebabkan tayar bocor, malah jika musim panas, jalan ini berdebu manakala becak pada musim hujan," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Bukit Kerayong, Khairal Saleh Dalail berkata, kerajaan negeri perlu mencari penyelesaian segera bagi menangani isu dihadapi kira-kira 3,000 penduduk kampung berkenaan.

"Jalan ini laluan utama penduduk kampung untuk ke Jeram dan Kuala Selangor, selain dilalui penduduk Kampung Bukit Kuching dan Jeram yang bekerja di Meru, Setia Alam dan Klang.

"Saiz jalan masuk kampung ini kecil dan terletak di tengah antara dua saliran parit menyebabkan ia tidak sesuai dilalui kenderaan berat," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, isu dibangkitkan penduduk itu bukan isu baharu, sebaliknya sudah lama diperjuangkan.

Katanya, masalah itu telah diajukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut.

"Saya difahamkan kerja-kerja penurapan telah dilakukan pada Disember tahun lalu, namun berlaku kerosakan semula di laluan berkenaan.

"Perkara ini juga saya bawa pada sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor dan meminta kerajaan negeri menyelesaikan isu tersebut," jelasnya.

Beliau berkata, petisyen bantahan yang dihantar penduduk akan diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk tindakan susulan.

"Saya akui perkara ini bukan sekelip mata dapat diselesaikan, namun kita berharap ada jalan penyelesaian dapat diambil bagi mengurangkan keresahan penduduk," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28