SMK Meru jinakkan SMK Dato’ Harun di Kuala Selangor

Pemain-pemain dan barisan kejurulatihan SMK Meru sebelum perlawanan menentang SMK Dato' Harun di Kuala Selangor pada Isnin.
Pemain-pemain dan barisan kejurulatihan SMK Meru sebelum perlawanan menentang SMK Dato' Harun di Kuala Selangor pada Isnin.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Meru meneruskan momentum positif Kejohanan Bolasepak Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) 2023 apabila menjinakkan pasukan pilihan SMK Dato’ Harun, 1-0 dalam aksi Kumpulan H pada Isnin.

Gol Muhammad Emirr Azim Zamri minit ke-33 separuh masa pertama di Stadium Kuala Selangor itu membolehkan pasukan kendalian Mat Hassan Mat Rofi mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan SMK Seksyen 9, 2-1 di padang JSA Arena Setia Alam sebelum ini.

Tiga mata diraih di laman lawan itu membolehkan pasukan berpangkalan di Klang itu menyambar slot ke pusingan kalah mati 16 terbaik dengan berbaki satu perlawanan berdepan SMK Putra Perdana di padang SMK Putra Perdana pada Rabu ini.

SMK Dato’ Harun pula akan melayan kunjungan SMK Seksyen 9 yang menewaskan SMK Putra Perdana, 2-1 di padang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19, di Stadium Kuala Selangor sebelum melabuh tirai peringkat kumpulan.

“Alhamdulillah kita berjaya membawa pulang tiga mata yang sangat berharga di laman lawan. Kedua-dua pasukan bermain sangat baik dan saya memuji pemain-pemain saya yang tenang menyerap tekanan bermain di laman keramat SMK Dato’ Harun,” kata Mat Hassan

Mengenai persiapan menjelang kunjungan ke laman SMK Putra Perdana, Mat Hassan berkata, “ Semestinya kami akan guna peluang ini untuk merehatkan pemain utama bagi mengelak daripada kecederaan dan pergantungan perlawanan.

“Biarpun begitu saya mengingatkan para pemain yang akan diturunkan mengekalkan momentum positif seperti dilakar dalam dua perlawanan sebelum ini biarpun beraksi di laman lawan sekali lagi.”

Artikel Berkaitan:

Kesebelasan utama SMK Meru ketika berdepan SMK Dato' Harun dalam aksi Kumpulan H Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023
Kesebelasan utama SMK Meru ketika berdepan SMK Dato' Harun dalam aksi Kumpulan H Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023

Pada masa sama Mat Hassan mewakili pemain pemain SMK Meru berterima kasih atas sokongan diberikan terhadap pasukan berkenaan selama ini.

“Saya berterima kasih kepada barisan pentadbir dan pihak persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) SMK Meru yang banyak memberi sokongan dan suntikan kewangan bagi mengharungi kejohanan kali ini.

“Dan tidak lupa juga kepada barisan kejurulatihan cikgu Sabri Jaafar, cikgu Nazreen Naim, cikgu Faniezat, Azhar Nordin dan cikgu Syukri bertungkus lumus mempersiapkan pasukan SMK Meru,” katanya.

Kejohanan mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.


Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023

KEPUTUSAN

KUMPULAN E

SMK Seksyen Sebelas U14 6-0 SMK Kelana Jaya

SMK Panglima Garang 3-0 SMK Bandar Baharu Bangi

KUMPULAN F

SBPI Rawang 1-2 SMK Pengkalan Permatang

SMK Syed Mashor 2-0 MRSM Sungai Besar

KUMPULAN G

SMK Taman Tasik 0-1 SMK Darul Ehsan

SMK Sungai Kapar Indah 1-0 SMK Puching Utama (1)

KUMPULAN H

SMK Dato' Harun 1-2 SMK Meru

SMK Seksyen 9 2-1 SMK Putra Perdana