Kastam rampas rokok putih, minuman keras bernilai RM13.4 juta

Mohammad Hafiz menunjukkan minuman keras yang dirampas ketika mengadakan sidang media mengenai dua sindiket pengedaran rokok putih dan minuman keras bernilai lebih RM13 juta di Pejabat Kastam Negeri Sembilan. Foto Bernama

A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas rokok putih dan minuman keras yang diseludup dengan nilai keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM13.4 juta dalam dua serbuan di Selangor pada 26 Februari dan 1 Mac lepas.

Pengarahnya, Mohammad Hafiz Ishak berkata, dalam serbuan pertama di Pelabuhan Klang Utara pada jam 12 tengah hari bulan lepas, pihaknya menahan dua lelaki berumur sekitar 40-an selepas menemukan 97,200 tin dan 30,392 botol minuman keras pelbagai jenama dan saiz bernilai RM3.2 juta dalam tiga kontena.

Mohammad Hafiz menunjukkan minuman keras yang dirampas ketika mengadakan sidang media mengenai dua sindiket pengedaran rokok putih dan minuman keras bernilai lebih RM13 juta di Pejabat Kastam Negeri Sembilan. Foto Bernama
Mohammad Hafiz menunjukkan minuman keras yang dirampas ketika mengadakan sidang media mengenai dua sindiket pengedaran rokok putih dan minuman keras bernilai lebih RM13 juta di Pejabat Kastam Negeri Sembilan. Foto Bernama

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini beliau berkata, minuman keras itu dipercayai dibawa masuk ke dalam negara dari Dubai dan China untuk dipasarkan di negara jiran.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua pada kira-kira jam 4 petang di sebuah premis sekitar Pandamaran awal bulan ini pula, pihaknya menahan lima unit kontena dan dua lori mengandungi 591,000 paket rokok putih pelbagai jenama dan 51,936 tin serta 5,576 botol minuman keras bernilai RM10.2 juta dipercayai cuba dilarikan cukai.

Katanya, susulan penemuan itu pihaknya menahan seorang pemilik premis berusia 50an bersama dua pekerja warga asing dalam lingkungan 30an bagi membantu siasatan.

Mohammad Hafiz berkata, kedua-dua kes itu menggunakan modus operandi sama iaitu membawa masuk barangan bercukai ke dalam negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan sah untuk dijual pada harga yang lebih murah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-88 atau http://aduan.customs.gov.my atau Pejabat Kastam yang terdekat, dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28