Zakat fitrah Negeri Sembilan ditetapkan RM7, RM12.50, RM22

MAINS menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM12.50 dan RM22 pada tahun ini. Gambar hiasan
MAINS menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM12.50 dan RM22 pada tahun ini. Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7, RM12.50 dan RM22 pada tahun ini.

MAINS dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan penetapan itu berdasarkan kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Negeri Sembilan pada kadar timbangan satu gantang bersamaan 2.75 kilogram.

"Pewartaan kadar zakat fitrah ditetapkan RM7 untuk pengguna beras jenis Super Special Tempatan lima peratus, RM12.50 bagi pengguna beras Super Import, Super Wangi dan Herba Ponni manakala RM22.00 pada pengguna beras Super Basmathi,” menurut kenyataan itu di sini pada Khamis.

Bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam menunaikan ibadah itu, MAINS menyediakan kaedah pembayaran bersemuka dan secara dalam talian termasuk kaunter zakat MAINS, menerusi 1,250 Amil Zakat Fitrah yang ditauliah MAINS atau di www.zakatns2u.biz/fitrah, MAINS Pay serta JomPAY.

Menurut MAINS, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau permasalahan berkaitan boleh menghubungi talian MAINS di 06-7651402 atau laman sesawang www.mains.gov.my

Selain itu, MAINS turut memaklumkan akan membelanjakan sehingga lebih RM17 juta wang zakat untuk pelbagai jenis bantuan termasuk kepada fakir, miskin dan barangan keperluan asas asnaf sepanjang Ramadan.

Di MELAKA, bayaran zakat fitrah kekal pada kadar RM7, RM14 dan RM21 pada tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, Zakat Melaka menyasarkan kutipan RM5.9 juta pada tahun ini berbanding RM5.75 juta pada tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Zakat Melaka turut melantik 1,029 amil di seluruh negeri membabitkan 385 amil di Melaka Tengah, Alor Gajah (248), Jasin (216) dan 180 amil dalam kalangan agensi bagi memungut zakat fitrah di seluruh negeri," katanya kepada pemberita.

Menurutnya selain bayaran kepada amil, pembayar zakat boleh membayar menerusi laman sesawang www.izakat.com, imbasan QRPay DuitNow, perbankan Internet Maybank, portal MelakaPay dan aplikasi MelakaPay. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28