Tarawih: Khidmat imam luar negara bergantung kebenaran majlis agama negeri

Mohd Na'im (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Karnival Mahabbah Komuniti Madani di Masjid As-Syakirin Kampung Bharu Lanjut pada Sabtu
Mohd Na'im (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Karnival Mahabbah Komuniti Madani di Masjid As-Syakirin Kampung Bharu Lanjut pada Sabtu
A
A
A

SEPANG - Khidmat imam luar negara bagi mengetuai solat tarawih Ramadan ini bergantung kepada kelulusan majlis agama negeri masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, setiap negeri mempunyai garis panduan dan proses tertentu yang perlu dipatuhi.

Menurutnya, ketetapan itu selari dengan hal ehwal Islam adalah tertakluk kepada kuasa raja negeri-negeri.

"Isu berkaitan agama termasuk tauliah ceramah mahupun imam adalah bidang kuasa majlis agama negeri-negeri serta bidang kuasa sultan setiap negeri," katanya ditemui pada Karnival Mahabbah Komuniti Madani di Masjid As-Syakirin Kampung Bharu Lanjut di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menetapkan bahawa imam solat tarawih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan harus dipimpin pegawai masjid lantikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, Jawi membuat ketetapan itu sebagai langkah kawalan dan pematuhan aspek tauliah seperti ditekankan bagi penceramah di masjid dan surau.

"Konsep tauliah imam masjid ini, tak lain dan tak bukan untuk memastikan imam mengetuai solat mempunyai kelayakan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Na'im (tengah) bergambar bersama tetamu jemputan dan orang awam yang hadir pada Karnival Mahabbah Komuniti Madani di Masjid As-Syakirin Kampung Bharu Lanjut pada Sabtu.
Mohd Na'im (tengah) bergambar bersama tetamu jemputan dan orang awam yang hadir pada Karnival Mahabbah Komuniti Madani di Masjid As-Syakirin Kampung Bharu Lanjut pada Sabtu.

"Kalau nak jemput imam luar negara, pada saya sepatutnya keutamaan diberikan kepada anak tempatan sebab Darul Quran melahirkan banyak huffaz.

"Jika kita lantik imam luar negara yang ramai, huffaz dalam negara ini mahu dibawa ke mana?" soalnya.

Justeru katanya, ketetapan Jawi itu dapat memberi peluang kepada huffaz terutama dalam kalangan anak muda untuk ke depan.

Berhubung SOP solat tarawih sepanjang Ramadan ini, beliau menjelaskan tiada SOP khusus ditetapkan susulan negara telah melepasi pandemik Covid-19.

Sementara itu, Karnival Mahabbah Komuniti Madani merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Projek tersebut bertujuan untuk menyemarak dan menyuburkan aktiviti menyantuni komuniti sekali gus mendekati masyarakat memerlukan.

Antara pengisian program termasuk Solat Subuh Macam Jumaat, Slot Sembang Syabab dan Forum Ambang Ramadan bertajuk Islah Diri, Islah Komuniti.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28