Bayaran imam solat tarawih atas persetujuan masjid - MAIK

Tengku Muhamad Rizam menyampaikan sumbangan kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan pada Majlis Laporan Khas Kutipan Dan Agihan MAIK 2023 serta Pelancaran Aplikasi MyMaik pada Khamis.
Tengku Muhamad Rizam menyampaikan sumbangan kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan pada Majlis Laporan Khas Kutipan Dan Agihan MAIK 2023 serta Pelancaran Aplikasi MyMaik pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Bayaran imam untuk solat tarawih tidak membabitkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kerana keputusan ditetapkan oleh ahli jawatankuasa masjid.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pihak masjid biasanya mendapat sumbangan daripada jemaah yang hadir untuk tarawih sepanjang Ramadan.

Menurutnya, jumlah bayaran imam juga biasanya berdasarkan keadaan dan kemampuan kewangan pihak masjid.

"Bayaran itu menjadi rezeki kepada imam terutama daripada sumbangan orang ramai yang mahu meningkatkan pahala sepanjang Ramadan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Laporan Khas Kutipan Dan Agihan MAIK 2023 serta Pelancaran Aplikasi MyMaik pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Imam Satu Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai, Ahmad Maher Safiain, 30, mengaku bayaran imam bagi solat tarawih sepanjang Ramadan yang mencecah lima angka sudah menjadi kebiasaan di negeri ini.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa masjid di Kelantan yang mengiklankan bayaran imam solat tarawih sehingga RM6,000 dan mereka yang berminat boleh menghantar resume.

Mengulas lanjut, Tengku Muhamad Rizam berkata, jumlah itu boleh dikatakan dalam kadar biasa kerana masih ada masjid di negeri lain membayar pada harga lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Mohd Asri
Mohd Asri

Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud memberitahu, bayaran lima angka untuk imam solat tarawih merupakan perkara biasa di Kelantan sepanjang Ramadan.

Menurut beliau, ada dalam kalangan imam yang dibayar sehingga mencecah RM10,000 dan itu merupakan rezeki Ramadan yang mungkin diperoleh sekali dalam setahun.

"Masjid di negeri ini berlumba-lumba untuk membayar imam solat tarawih dalam nilai yang tinggi kerana mahu mengambil peluang bersedekah setahun sekali kepada imam terbabit," katanya.

Menurutnya, bayaran itu juga antara sumbangan daripada orang ramai yang mahu mengumpul pahala dalam bulan mulia.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28