Penduduk tak lena tidur jumpa tapak kaki harimau bawah rumah

Mohd Zaki menunjukkan bekas tapak kaki haiwan dipercayai harimau dibawah rumah di Kampung Losong Panglima Perang di Kuala Terengganu. Gambar kecil: Kesan tapak kaki haiwan liar dipercayai harimau kumbang atau harimau dahan.
Mohd Zaki menunjukkan bekas tapak kaki haiwan dipercayai harimau dibawah rumah di Kampung Losong Panglima Perang di Kuala Terengganu. Gambar kecil: Kesan tapak kaki haiwan liar dipercayai harimau kumbang atau harimau dahan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lapan sekeluarga yang tinggal di Kampung Losong Panglima Perang dekat sini diselubungi kebimbangan sejak penemuan beberapa kesan tapak kaki seakan harimau di bawah rumah didiami mereka Ahad lalu.

Nur Shairah Mohd Zaki, 32, berkata, pada malam kejadian, dia terdengar bunyi pelik di bawah rumah sekitar jam 3 pagi sebelum memeriksa bahagian berkenaan keesokannya.

"Antara jam 1 hingga 4 pagi tu saya terjaga daripada tidur dan terdengar bunyi bising. Bila saya amati macam bunyi babi dalam kesakitan. Bunyi tu jelas kedengaran dari bawah rumah berselang seli dengan bunyi dengusan. Masa tu saya memang takut dan tak dapat tidur.

"Saya ingatkan babi masuk perangkap. Esoknya bila periksa bawah rumah ada kesan darah. Mungkin babi tu telah dimakan sebab ada juga kesan seperti bekas tapak kaki harimau. Bukan satu atau dua, banyak kesan yang ditinggalkan," katanya ketika ditemui pemberita dekat sini pada Khamis.

Nur Shairah dan Nasaruddin
Nur Shairah dan Nasaruddin

Nur Shairah yang baru habis berpantang anak kedua berkata, sebelum ini anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu telah memasang perangkap babi liar berdekatan kediaman kerana berlaku peningkatan populasi haiwan tersebut di situ.

"Ada anggota Perhilitan yang datang selepas kami buat aduan. Mereka kata tapak kaki itu menyamai kesan tapak kaki harimau. Kalau bukan harimau kumbang mereka kata mungkin harimau dahan," katanya.

Sementara itu, bapanya, Mohd Zaki Salleh, 68, berkata, ketika kejadian dia berada di Marang dan bergegas pulang ke rumah setelah mendapat tahu kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kawasan bawah rumah ni lembap sikit jadi bekas tapak kaki yang ditinggalkan tu lebih jelas dan ada sampai hari ini. Kita bimbang juga ia datang kembali sebab kawasan rumah ni banyak babi liar. Tak lena tidur pun ya juga bila dah jadi macam ni.

"Sekarang pun dah nak masuk bulan puasa, kita bimbang juga kalau haiwan liar tu ada menunggu di sekitar kawasan ini mencari mangsa. Bimbang juga keselamatan mereka yang keluar solat tarawih di sini," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Zaki berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah itu sekali gus dapat mengurangkan kebimbangan penduduk di kawasan terlibat.

Situasi sama turut dialami oleh seorang peniaga yang menjalankan perniagaan tidak jauh dari rumah itu.

Antara kesan tapak kaki haiwan dipercayai harimau yang dijumpai dibawah sebuah rumah di Kampung Losong Panglima Perang di Kuala Terengganu.
Antara kesan tapak kaki haiwan dipercayai harimau yang dijumpai dibawah sebuah rumah di Kampung Losong Panglima Perang di Kuala Terengganu.

Peniaga Warung Kancil, Nasaruddin Zaidi, 36, mendakwa menemukan bekas seperti tapak kaki harimau di depan gerainya yang beroperasi berdekatan Muzium Negeri Terengganu dekat sini.

Katanya, kejadian berlaku pada pertengahan bulan lalu itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan pekerjanya memandangkan perniagaan mereka mula beroperasi jam 3 petang hingga 11 malam.

"Bekas tapak kaki harimau tu dijumpai oleh seorang pekerja ketika datang ke kedai makan sekitar jam 9 pagi dan kita sempat ambil gambar sebelum ia hilang.

"Ada beberapa bekas tapak kaki yang kita jumpa betul-betul atas pasir depan pintu masuk ke kedai. Ia dikesan dari pintu masuk menghala sehingga ke belakang kedai.

"Lepas jumpa tapak kaki tu kita rasa bimbang juga lah sebab kedai buka dari petang hingga malam. Sebab itulah saya sering ingatkan pekerja supaya berhati-hati terutama pada sebelah malam," katanya.

Penemuan tapak kaki yang di dakwa milik haiwan pemangsa itu tular selepas ia dikongsikan di media sosial sejak Selasa lalu.