Perhilitan pantau penemuan tapak kaki didakwa harimau kumbang

Laporan Sinar Harian mengenai kebimbangan penduduk berhubung dakwaan kehadiran harimau di kawasan mereka.
Laporan Sinar Harian mengenai kebimbangan penduduk berhubung dakwaan kehadiran harimau di kawasan mereka.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu melakukan pemantauan berhubung aduan mengenai penemuan tapak kaki dipercayai haiwan liar di bawah rumah penduduk di Kampung Losong Panglima Perang, di sini.

Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, tindakan dan siasatan sedang dijalankan Perhilitan Kuala Terengganu.

"Kes ini masih dalam siasatan dan ada anggota kita yang buat pemantauan.

"Sehingga kini, tiada kesan terbaharu melibatkan harimau kumbang tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak menularkan gambar palsu berhubung kejadian itu bagi mengelak timbulnya kebimbangan dan salah faham dalam kalangan orang awam.

Ujarnya, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya mendapati terdapat individu yang berbuat demikian.

"Setakat ini pengadu tak dapat nak tunjuk gambar atau video haiwan yang didakwa dan kita harap orang ramai boleh memberikan kerjasama dengan tidak menularkan gambar-gambar palsu.

"Jika ada yang didapati berbuat demikian kita akan ambil tindakan kerana sekarang banyak maklumat-maklumat palsu yang tidak benar.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan gambar diambil dari tempat lain untuk sensasikan isu," katanya.

Dalam pada itu, Kean Seong turut menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan ancaman haiwan liar.

"Jangan mendekati hidupan liar jika ada terserempak dengan haiwan itu.

"Sekiranya keluar malam, perlu bawa teman elakkan bergerak seorang diri.

"Sebarang penemuan seperti bangkai binatang yang disyaki dimakan harimau kumbang perlu laporkan kepada Perhilitan terdekat," katanya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan lapan sekeluarga yang tinggal di Kampung Losong Panglima Perang di sini diselubungi kebimbangan sejak menemukan beberapa kesan tapak kaki seakan harimau di bawah rumah didiami mereka Ahad lalu.

Nur Shairah Mohd Zaki, 32, berkata, pada malam kejadian, dia terdengar bunyi pelik dari bawah rumah sekitar jam 3 pagi sebelum memeriksa bahagian berkenaan keesokannya.

Selain itu, seorang peniaga, Nasaruddin Zaidi, 36, mendakwa menemukan tapak kaki seakan-akan harimau di depan gerainya yang beroperasi berdekatan rumah tersebut.

Katanya, kejadian berlaku pada pertengahan bulan lalu menimbulkan kerisauan dalam kalangan pekerjanya memandangkan perniagaan mereka mula beroperasi jam 3 petang sehingga 11 malam.

Pada 15 Februari lalu, seorang penternak runsing memikirkan kejadian menimpa seekor kambingnya yang ditemukan mati dalam keadaan mengerikan dengan rangka haiwan itu tersangkut di tepi kandang berdekatan rumahnya di Kampung Gelong Nibong, Teluk Pasu, di sini.

Syed Mohd Tuan Basin, 47, berkata, dia mengesyaki kambing jantan peliharaannya berusia hampir setahun itu dimakan harimau kumbang ketika berada di dalam kandang terletak bersebelahan kediamannya pada 29 Januari lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28