Tiada pengikut Mawla Amin dikesan di Johor

Mohd Fared (tengah) melawat booth selepas Majlis Penyerahan Bantuan Usahawan Majlis Agama Islam di Hotel Impiana, Senai, Johor Bahru pada Isnin.
Mohd Fared (tengah) melawat booth selepas Majlis Penyerahan Bantuan Usahawan Majlis Agama Islam di Hotel Impiana, Senai, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

KULAI - Tiada laporan mengenai kewujudan dan pergerakan pengikut Mawla Mohamed Amin al-Hassani atau Mawla Amin dikesan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) setakat ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan polis bagi memastikan kumpulan pengikut lelaki yang didakwa cicit Nabi Muhammad SAW tidak bertapak di negeri ini.

"Umat Islam di negeri ini dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak JAINJ atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor sekiranya mengesan penularan pergerakan kumpulan itu.

"Kalau tanya saya tentang pengikut Mawla (Amin) itu, kita tak dapat sebarang aduan berkenaan pergerakannya di negeri Johor.

"Maka saya dengan ini ingin ucap terima kasih lah kepada Bangsa Johor kerana sentiasa patuh kepada pekeliling dan nasihat JAINJ.

"Saya berharap semua pihak akan sentiasa membuat aduan dan pemakluman kepada JAINJ kita tentang semua perkara yang mereka gusar dan keliru tentang agama islam di negeri ini," katanya.

Mohd Fared
Mohd Fared

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Usahawan Majlis Agama Islam Sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat Sirim Berhad di Hotel Impiana Senai, di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Sirim, Mohd Faisal Mohd Shukor.

Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri Maghribi mengesahkan Mawla Amin atau nama sebenarnya Muhammad Mohamed Amin Ouradji bukan warganegara Maghribi.

Portal Hespress melaporkan, lelaki itu juga tidak mempunyai kaitan dengan Sharif Idrissi di Maghribi atau mana-mana keturunan Nabi Muhammad SAW.

Mawla Amin mencetuskan kontroversi di Malaysia dengan mendakwa warganegara Maghribi dan keturunan Nabi Muhammad selepas menubuhkan sebuah mazhab yang kononnya menyediakan penganutnya untuk akhir zaman.

Lelaki berkenaan tiba di Malaysia pada 2022 yang dibawa oleh sebuah madrasah, tetapi mendapat tentangan daripada mufti negeri kerana dokumen 'keturunan' yang meragukan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara,Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sedang memantau pergerakan Malwa Amin dan pengikutnya termasuk madrasah itu yang beroperasi di Selangor.

Razarudin dilaporkan berkata, hasil maklumat yang diterima, mereka juga sudah membeli sebidang tanah yang agak besar iaitu 11 hektar sedangkan pengikutnya bukan daripada kalangan orang yang berada namun bergantung dengan kutipan dana awam.

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, pihaknya tidak akan memperakui identiti lelaki tersebut dan dia tidak diterima di negeri ini.

Tambahnya, JAINJ akan sentiasa membuat pemantauan dengan pihak berkuasa terutamanya Jabatan Imigresen dan juga PDRM untuk memastikan tiada individu yang menyalahgunakan karekter peribadi bagi manfaat publisiti.

"Tambahan lagi di negeri kita ini, semua pendakwah ataupun penceramah wajib ada tauliah. Jadi kita tidak memperakui pun yang namanya Mawla ke, Syed ke, Sheikh ke, selagi mana mereka tak berdaftar dengan kita dan tak berjumpa dengan MAINJ terlebih dahulu.

"Maka sekiranya mereka muncul di Johor, kita tidak memperakui mereka sebagai pendakwah ataupun mereka-mereka yang berhak dihormati dari segi kredibiliti keagamaannya di negeri Johor," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28