Kerajaan Johor nafi pembangunan pusat data punca krisis air

Mohamad Fazli
Mohamad Fazli
A
A
A

JOHOR BAHRU - Krisis air yang sedang berlaku di Benut, Pontian dan Simpang Renggam, Kluang bukan berpunca daripada pembangunan pusat data sebaliknya akibat kemarau sehingga mengakibatkan empangan sedia ada menyusut kapisiti.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, dakwaan itu tidak benar, tidak berasas dan merupakan satu fitnah.

“Untuk makluman, bekalan air bagi kawasan Simpang Renggam dan Benut disalurkan melalui Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam yang memproses air mentah dari Sungai Ulu Benut dengan sokongan sumber dari Empangan Machap.

“Keupayaan maksimum loji ini adalah 64 juta liter sehari (MLD). Gangguan bekalan air berjadual yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah berpunca daripada penyusutan paras sumber air mentah akibat kemarau berpanjangan sebelum ini.

“Walaupun hujan telah mula turun, paras air sungai dan empangan masih belum kembali ke tahap optimum” katanya dalam kenyataan.

Bekalan air dihantar melalui lori tangki untuk kegunaan harian penduduk yang terjejas di Pontian dan Kluang. - Foto Facebook Mohamad Fazli
Bekalan air dihantar melalui lori tangki untuk kegunaan harian penduduk yang terjejas di Pontian dan Kluang. - Foto Facebook Mohamad Fazli

Beliau mengulas dakwaan yang tular dalam media sosial bahawa punca gangguan bekala air di negeri ini akibat pembangunan pusat data.

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, bagi membolehkan LRA Simpang Renggam beroperasi pada kapasiti penuh 64 MLD menggunakan empat pam, paras intake Sungai Benut perlu melebihi 4.90 meter.

Artikel Berkaitan:

"Paras air direkodkan sekitar 4.66 meter iaitu masih di bawah tahap operasi optimum sekaligus mengehadkan penggunaan pam sepenuhnya dan menjejaskan pengeluaran air terawat.

"Situasi itu, memerlukan pelaksanaan bekalan air berjadual bagi memastikan agihan yang lebih adil dan seimbang kepada pengguna," katanya lagi.

Menurutnya, sebagai langkah mitigasi segera, kerajaan negeri bersama-sama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan utama termasuk Empangan Upper Layang, Empangan Pulai dan Empangan Machap bagi meningkatkan peluang hujan dan mempercepat pemulihan paras air mentah.

“Berhubung dakwaan yang mengaitkan isu ini dengan pusat data, ingin ditegaskan bahawa tiada pusat data menerima bekalan air di kawasan Simpang Renggam dan Benut dan kawasan tersebut juga bukan lokasi pembangunan pusat data,” katanya.

Tegas Mohamad Fazli, kerajaan negeri komited memastikan kestabilan bekalan air untuk rakyat di samping memastikan setiap pembangunan industri di Johor dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan bertanggungjawab.

Beliau menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada maklumat rasmi daripada pihak berkuasa dan tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

Pada Isnin lalu, media melaporkan krisis bekalan air semakin meruncing apabila Sungai Benut mencapai paras minimum, manakala Empangan Machap di bawah paras operasi selamat menyebabkan Loji LRA Simpang Renggam hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, situasi disebabkan musim kemarau berpanjangan, namun kerajaan negeri sedang menggerakkan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kesan kepada rakyat.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata, ketika ini kerajaan melaksanakan pengukuhan operasi LRA Yong Peng yang mampu menyalurkan tambahan empat juta liter sehari bagi membantu menstabilkan bekalan air.

 

 

Ringkasan AI

  • Krisis air di Benut, Pontian dan Simpang Renggam, Kluang disebabkan oleh kemarau bukan pembangunan pusat data
  • Empangan sedia ada menyusut kapasiti akibat kemarau
  • Loji Rawatan Air Simpang Renggam beroperasi di bawah kapasiti maksimum sebab paras sumber air mentah menyusut
  • Kerajaan negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara melaksanakan operasi pembenihan awan untuk mempercepat pemulihan paras air
  • Tidak ada pusat data menerima bekalan air di kawasan terjejas dan tiada pembangunan pusat data di lokasi tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!