'Gangguan bekalan air di Johor akibat kemarau bukan pusat data' - Onn Hafiz

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kenyataan dikeluarkan Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor yang cuba mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam, Kluang dan Benut, Pontian dengan pembangunan pusat data adalah berunsur politik serta tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan berkenaan tidak berasaskan fakta kerana tiada sebarang pusat data yang dibangunkan di kawasan Simpang Renggam mahupun Benut.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu, gangguan bekalan air yang berlaku sebelum ini berpunca daripada kemarau berpanjangan yang menyebabkan penyusutan paras sumber air mentah, termasuk di Empangan Machap, selain situasi sama yang turut dilaporkan berlaku di beberapa negeri lain.

"Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam merupakan loji utama yang membekalkan air terawat kepada sebahagian kawasan di daerah Kluang dan Pontian Utara, meliputi Simpang Renggam, Jalan Benut, Jalan Renggam, Machap, Tampok, Benut dan Api-Api. Namun, kawasan agihan LRA berkenaan tidak menempatkan sebarang pusat data.

“Pusat data yang terdekat adalah di kawasan Perindustrian Sedenak dan ia menerima bekalan air daripada LRA Semangar yang bersumberkan Sungai Johor, bukannya daripada Empangan Machap.

"Fakta ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa dakwaan yang mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut dengan pembangunan pusat data adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor memandang serius gangguan bekalan air yang menjejaskan beberapa kawasan di negeri itu susulan paras Sungai Benut dan Empangan Machap dilaporkan berada pada tahap kritikal.

Gabungan itu merujuk laporan media yang menyatakan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam kini beroperasi pada kadar rendah berikutan kekurangan sumber air mentah, sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat serta menimbulkan kebimbangan terhadap pengurusan sumber air negeri dalam menghadapi kepesatan pembangunan industri.

Walaupun menyambut baik kemasukan pelaburan termasuk industri berteknologi tinggi seperti pusat data yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, gabungan itu menegaskan pembangunan perlu diseimbangkan dengan keupayaan infrastruktur asas.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Onn Hafiz yang juga Ketua UMNO Bahagian Simpang Rengga memaklumkan Bekalan Air Berjadual (BAB) yang dilaksanakan sejak 7 Februari lalu di Simpang Renggam dan Benut, termasuk penjadualan 48 jam tanpa bekalan mengikut zon, telah ditamatkan.

"BAB telah tamat sepenuhnya susulan peningkatan paras air Empangan Machap serta operasi loji rawatan air yang kini kembali optimum.

“Hak rakyat terhadap bekalan air bersih sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri. Pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat bukan dua perkara yang bertentangan, sebaliknya dilaksanakan secara seimbang melalui perancangan rapi, kawal selia bersepadu dan pelaburan semula dalam infrastruktur asas," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!