Kedah tidak benarkan Mawla Amin adakan ceramah

Mawla Amin (Gambar kecil: Abd Ghani)
Mawla Amin (Gambar kecil: Abd Ghani)
A
A
A

ALOR SETAR - Warganegara Maghribi yang dikenali sebagai 'Mawla Mohamed Amin al-Hassani' atau ‘Mawla Amin’ oleh pengikutnya pernah bercadang mengadakan ceramah di Kedah namun tidak diberikan kebenaran.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Datuk Dr Abd Ghani @ Zulkifli Zainuddin berkata, ‘Mawla Amin’ pernah dijadualkan menghadiri sebuah majlis di Alor Setar pada 4 Oktober 2022 namun akhirnya dibatalkan.

Menurutnya, sehingga kini tiada maklumat berkaitan penganjuran majlis membabitkan individu tersebut di negeri ini selepas tarikh tersebut.

“Kebenaran menyampaikan ceramah agama akan diberi kepada permohonan yang tidak menimbulkan apa-apa masalah terutamanya yang boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat, atau mengundang kesesatan terhadap agama,” katanya di sini pada Rabu.

Abd Ghani berkata, setiap individu yang ingin menyampaikan ilmu agama atau perjumpaan agama perlu mempunyai tauliah atau kebenaran terlebih dahulu berdasarkan peruntukan Seksyen 84 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008.

Laporan Sinar Harian berkaitan isu ‘Mawla Amin’.
Laporan Sinar Harian berkaitan isu ‘Mawla Amin’.

“Peraturan tersebut bukan sahaja dikuatkuasakan di Kedah, tetapi juga di negeri-negeri lain,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini JHEAIK tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan wujudnya pengikut beliau yang aktif menjalankan aktiviti di Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Walau bagaimanapun, JHEAIK sentiasa pantau perkembangan dari semasa ke semasa.

“JHEAIK akan jalankan siasatan jika terdapat apa-apa ajaran menyeleweng mengikut Seksyen 4 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, berkaitan kesalahan membawa doktrin palsu dan Seksyen 11 Enakmen sama berkaitan kesalahan pendapat yang bertentangan dengan fatwa,” ujarnya.

Abd Ghani tegaskan, sekiranya terdapat bahan-bahan cetak berkaitan ajaran menyeleweng, Seksyen 12 Enakmen sama boleh digunakan, iaitu penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak.

Sebelum ini, seorang lelaki warganegara Maghribi dan dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai 'Mawla Mohamed Amin al-Hassani' atau ‘Mawla Amin’ mendakwa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.

Pada Selasa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan tidak menerima sebarang bukti dokumen berhubung nasab ‘Mawla Amin’ seperti didakwa pihak tertentu.

Ia susulan kenyataan dibuat Nur Al Mustafa Malaysia dalam sidang media berhubung nasab 'Mawla Amin' bahawa mereka telah mengemukakan bukti dokumen berkaitan kepada Jakim.

Pada 22 Februari lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan masyarakat terutamanya umat Islam supaya tidak terlalu taasub kepada mana-mana individu, sebaliknya perlu sentiasa berpegang kepada neraca ilmu dan fakta.