Polis, JAIM pantau aktiviti kumpulan 'Mawla Amin'

Zainol
Zainol
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi memantau kegiatan seorang lelaki warga Maghribi yang didakwa mahu mewujudkan perkampungan kerajaan 9 di negeri ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ini termasuk memantau aktiviti-aktiviti yang dijalankan mereka dan kumpulan itu dipercayai mahu berpindah dari sebuah madrasah di Selangor ke Melaka.

Menurutnya, meskipun belum menerima sebarang laporan polis berhubung aktiviti kumpulan terbabit, namun berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya akan terus menjalankan siasatan rapi.

"Apa-apa tindakan lepas ini bergantung kepada sebarang maklumat yang kita perolehi.

"Kita sekarang ini sedang dalam tindakan untuk mengenal pasti tempat terbabit dan mengambil beberapa tindakan ke arah itu," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada Jumaat.

Ditanya sama ada polis telah memanggil individu yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka didakwa telah menjual 11 hektar tanah untuk mewujudkan perkampungan terbabit, Zainol berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Sebelum ini media melaporkan seorang mudir sebuah madrasah di Selangor dan aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah.

Dipercayai dana itu bertujuan untuk mewujudkan satu perkampungan kerajaan 9 di Melaka sekali gus sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikut Mawla Amin yang mengaku mempunyai susur jalur keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.

Artikel Berkaitan:

Persiapan tersebut termasuk membeli sebidang tanah seluas 11 hektar di Melaka untuk membina perkampungan kerajaan 9.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28