Polis minta keluarga Bella hormati proses mahkamah

Mahkamah Majistret pada Isnin menetapkan tarikh 11 Mac untuk sebutan semula kes pertuduhan terhadap Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang didakwa membunuh Mila Sharmila Samsusah atau Bella, 32, Disember lalu.
Mahkamah Majistret pada Isnin menetapkan tarikh 11 Mac untuk sebutan semula kes pertuduhan terhadap Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang didakwa membunuh Mila Sharmila Samsusah atau Bella, 32, Disember lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli keluarga terutama kakak kepada Allahyarham Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella dinasihatkan supaya menghormati prosiding mahkamah dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dalam media sosial yang boleh mengganggu proses itu kerana kes sedang berjalan.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, tindakan tersebut adalah tidak wajar dan mendahului mahkamah malah suspek, Mohammad Haikal Mahfuz sudah dituduh pada 24 Januari lalu.

Beliau berkata, semua pihak seharusnya memberi ruang kepada perbicaraan yang akan berjalan di mahkamah sebelum kes diputuskan.

"Siasatan dijalankan dan suspek telah dituduh. Saya rasa selepas ini proses mahkamah (akan berjalan), mahkamah akan buat keputusan jadi kita jangan adili sesiapa.

"Sebagai orang awam, kita ada mahkamah yang mulia, perbicaraan akan berlangsung dan setiap yang terlibat akan diberi peluang untuk bela diri dia dan biarlah mahkamah buat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Misi Jelajah Ramadan MyFundAction di pekarangan Masjid Jamek Bandar Baru Uda di sini pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Afandi Senin; Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dan Pegawai Eksekutif MyFundAction, Dr Ghafur Rahim Mustakim.

Kumar berkata, pihaknya juga akan meneliti hantaran-hantaran dibuat ahli keluarga Allahyarham dalam media sosial sebelum memberi respon lanjut.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengulas berkaitan tindakan kakak Bella, Norhisham, 36, yang bersuara lantang menerusi hantaran dalam media sosial seolah-olah tidak berpuas hati dengan siasatan dijalankan.

Mahkamah menetapkan 11 Mac ini sebagai sebutan semula kes berkenaan bagi serahan laporan forensik.

Pada 24 Januari lalu, bekas posmen berkenaan didakwa buat pertama kali atas tuduhan membunuh Bella di Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah, Batu Pahat antara 11 malam hingga 5 pagi, pada 14 hingga 15 Disember lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28