Ambang Ramadan, sudah bersediakah kita?

Fahami, hayati makna bulan mulia itu sebelum melaksanakan puasa, ibadah sunat lain

NAMA bulan Ramadan diambil sempena keadaan panas pada ketika itu. - Foto Pexel.com
NAMA bulan Ramadan diambil sempena keadaan panas pada ketika itu. - Foto Pexel.com
A
A
A

SEDAR atau tidak, kurang dua minggu sahaja lagi umat Islam akan memasuki bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.

Bulan yang mulia itu begitu penting kerana kita akan melaksanakan salah satu daripada Rukun Islam iaitu berpuasa selama sebulan.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir daripada kita yang masih leka dan lalai dengan urusan duniawi sehingga tidak menyedari kedatangan bulan itu sekali gus tidak sempat untuk mempersiapkan diri mereka.

Menyingkap mengenai bulan Ramadan dan persiapan yang sepatutnya dilakukan, Sinar Islam menemu bual Pensyarah Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Bazli Ahmad Hilmi.

Menyentuh mengenai Ramadan, beliau menerangkan, perkataan Ramadan berasal daripada kalimah ar-ramadu yang bermaksud keamatan kesan matahari ke atas pasir dan benda-benda lain.

DR AHMAD BAZLI
DR AHMAD BAZLI

“Menurut Al-Jawhari, dikatakan bahawa orang Arab menamakan bulan-bulan mengikut masa yang berlaku, maka bulan ini bertepatan dengan hari-hari Ramadan yang panas.

Artikel Berkaitan:

“Al-Qurtubi pula menjelaskan, orang yang berpuasa menjadi amat hangat apabila perutnya menjadi panas kerana kehausan yang melampau,” hurainya.

Peristiwa penting sejarah Islam

Mengulas mengenai Ramadan, pensyarah itu memberitahu, banyak peristiwa penting yang berlaku padanya termasuk penurunan al-Quran, perang Badar dan pembukaan Kota Makkah.

“Menurut kronologi, antara peristiwa bersejarah dalam bulan Ramadan ialah penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW seperti yang dirakamkan oleh ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185.

“Seterusnya ialah peperangan Badar yang berlaku tahun kedua Hijrah. Peperangan pertama umat Islam ini disertai 313 Muslimin berhadapan dengan 1,000 tentera musyrikin Makkah yang lengkap bersenjata dan akhirnya ia dimenangi oleh umat Islam walaupun dalam serba kekurangan kelengkapan,” jelasnya.

Peristiwa ini dirakamkan ALLAH SWT dalam ayat 123 Surah Ali Imran.

Katanya lagi, peristiwa Pembukaan Kota Makkah juga berlaku dalam bulan Ramadan pada tahun kelapan Hijrah.

“Perjanjian Hudaibiyah yang telah dimeterai antara kaum Musyrikin dan umat Islam yang menyatakan kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh sepuluh tahun telah dilanggar oleh kaum Musyrikin.

“Walhasil, Nabi SAW dan umat Islam dapat memasuki Kota Makkah tanpa sebarang pertumpahan darah,” ulasnya.

PERISTIWA Pembukaan Kota Makkah oleh Rasulullah SAW amat luar biasa dan tanpa sebarang pertumpahan darah yang berlaku pada bulan Ramadan tahun kelapan Hijrah. - Foto Pexel.com
PERISTIWA Pembukaan Kota Makkah oleh Rasulullah SAW amat luar biasa dan tanpa sebarang pertumpahan darah yang berlaku pada bulan Ramadan tahun kelapan Hijrah. - Foto Pexel.com

Antara kelebihan Ramadan juga ia merupakan bulan yang diturunkan al-Quran.

“Imam Ibnu Kathir berpandangan, ALLAH SWT memuliakan bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain dengan memilih bulan tersebut sebagai waktu diturunkan al-Quran.

“Malah penurunan al-Quran secara berperingkat dan beransur-ansur adalah berbeza dengan kitab samawi lain,” katanya.

Tadarus, tilawah dan khatam al-Quran

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bertadarus dengan malaikat Jibril AS pada setiap malam bulan Ramadan seperti direkodkan dalam hadis yang diriwayatkan Muslim.

Ibnu Abbas RA berkata: “Jibril AS menemui Rasulullah SAW pada setiap malam bulan Ramadan hingga akhir, Rasullah memperdengarkannya al-Quran (dan Jibril menyemaknya).”

Menurut Ahmad Bazli, pada bulan Ramadan terakhir sebelum akhir hayat Baginda, Jibril AS menyemak bacaan Rasulullah SAW sebanyak dua kali (dinamakan sebagai al-’Urdah al-Akhirah) sebagaimana susunan al-Quran sekarang.

UMAT Islam disunatkan untuk bertadarus dan memperbanyakkan membaca al-Quran pada bulan Ramadan. - Gambar Hiasan/Foto Pexels.com
UMAT Islam disunatkan untuk bertadarus dan memperbanyakkan membaca al-Quran pada bulan Ramadan. - Gambar Hiasan/Foto Pexels.com

Hurainya, para salafussoleh menggandakan bacaan al-Quran mereka sehingga khatam beberapa kali sepanjang bulan Ramadan.

“Imam Syafie sebagai contoh, mengkhatamkan al-Quran sebanyak enam puluh kali di luar bacaan solat. Imam Malik pula meninggalkan pengajian hadis sepanjang bulan Ramadan untuk memfokuskan tilawah al-Quran,” jelasnya.

Ulang kaji ilmu puasa, hadam falsafahnya

Menjawab mengenai persoalan persediaan memasuki bulan Ramadan, beliau menjelaskan ilmu berkaitan puasa dan ibadah berkaitannya sangat perlu ditekankan.

“Sebelum memasuki Ramadan, persediaan dari aspek ilmu berkenaan puasa sangat penting merangkumi falsafah puasa itu sendiri.

“Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

“Imam An-Nawawi berpandangan, makna keimanan ialah seseorang percaya kelebihan berpuasa dan makna pengharapan ialah seseorang berpuasa ikhlas kepada Allah SWT,” jelasnya.

Katanya lagi, begitu juga dengan hukum-hakam berkaitan puasa perlu diulang kaji dengan tekun kerana syarat penerimaan sesuatu amalan mestilah ikhlas dan menepati syariah.

“Dari aspek fizikal, seseorang mestilah memastikan tubuh badan sihat dan bersedia dengan maraton ibadah sepanjang Ramadan lebih-lebih lagi sepuluh malam terakhir.

“Penjagaan pemakanan dan gaya hidup sihat adalah penting selain melazimi melakukan solat sunat rawatib dan qiamullail sebelum memasuki Ramadan,” katanya.

Pembacaan al-Quran juga perlu dimantapkan dan diperbanyakkan agar momentum tersebut berterusan dalam Ramadan, menurutnya.

“Para salafussoleh mempersiapkan mental mereka seawal enam bulan melalui doa agar mereka dipertemukan dengan Ramadan.

“Ramadan adalah kemuncak kepada ibadah kerana dijanjikan ganjaran yang cukup besar dan amat rugi kepada mereka yang mensia-siakannya.

“Semoga kita dapat bertemu dengan Ramadan akan datang dan keluar daripada madrasahnya dengan pengampunan dosa-dosa yang telah lalu,” katanya sebelum menutup bicara.