Muslim Volunteer Malaysia, Genius Aulad lancar ‘First We Need Love’

Kempen kutip dana untuk manfaat kanak-kanak, remaja keluarga asnaf dan B40 sempena Ramadan

MUHAMMAD HASBULLAH (dua dari kanan) dan Farah Hanisah menunjukkan memorandum persefahaman (MoU) antara MVM dan Genius Aulad bagi menggerakkan kempen mengutip dana membantu kanak-kanak dan remaja daripada keluarga asnaf dan B40.
MUHAMMAD HASBULLAH (dua dari kanan) dan Farah Hanisah menunjukkan memorandum persefahaman (MoU) antara MVM dan Genius Aulad bagi menggerakkan kempen mengutip dana membantu kanak-kanak dan remaja daripada keluarga asnaf dan B40.
A
A
A
PRIHATIN dengan nasib kanak-kanak dan remaja daripada keluarga asnaf serta B40, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Genius Aulad melancarkan kempen ‘First We Need Love’ sepanjang bulan Ramadan ini.

Ketua Pegawai Operasi MVM, Muhammad Hasbullah Md Najib berkata, kempen untuk kanak-kanak dan remaja kurang bernasib baik itu diadakan bagi meraikan mereka sempena menyambut Ramadan.

“Dalam masa terdekat ini, kita akan mengumpul dana daripada warga Genius Aulad terdiri daripada kakitangan dan ahli keluarga pelajar serta orang ramai.

“Dana tersebut akan digunakan untuk meraikan kanak-kanak dan remaja daripada keluarga asnaf dan B40 terutamanya dari segi bantuan makanan berbuka puasa,” katanya kepada Sinar Islam pada pelancaran kempen di Pangsapuri Enggang, Puchong, Selangor pada Selasa.



Tambah beliau, untuk jangka masa panjang, dana-dana tersebut juga akan digunakan untuk program lain seperti bantuan persekolahan, hari raya dan beberapa aktiviti komuniti lain melibatkan mereka.

KEMPEN First We Need Love dilancarkan bagi membantu kanak-kanak dan remaja yang kurang bernasib baik sempena Ramadan ini.
KEMPEN First We Need Love dilancarkan bagi membantu kanak-kanak dan remaja yang kurang bernasib baik sempena Ramadan ini.



Kira-kira 60 kanak-kanak dan remaja yang tinggal di Pangsapuri Enggang itu akan mendapat manfaat daripada kempen tersebut yang turut mendapat kerjasama NGO Adab Youth Garage (AYG).

Turut hadir Pengetua Genius Aulad, Farah Hanisah Md Yusoff, Pengurus Operasi Wilayah Tengah (AYG) dan Ikon MVM, Nana Mahazan.

KIRA-KIRA 20 kanak-kanak daripada keluarga asnaf dan B40 diraikan dalam program pelancaran kempen First We Need Love di Puchong, Selangor.
KIRA-KIRA 20 kanak-kanak daripada keluarga asnaf dan B40 diraikan dalam program pelancaran kempen First We Need Love di Puchong, Selangor.



Sementara itu, Farah Hanisah berkata, kempen tanggungjawab sosial korporat Genius Aulad itu bertujuan menanam nilai-nilai memberi dan berkongsi dalam kalangan pelajar-pelajar mereka sambil memupuk pembangunan moral sebagai umat Islam.

“Kempen dijadualkan berlangsung sepanjang bulan Ramadan iaitu dari 1 Mac hingga 5 April 2024 dan ia bertujuan untuk memberi impak yang bermakna kepada masyarakat dengan mendidik kanak-kanak tentang kepentingan kemanusiaan dan kegembiraan berkongsi dengan orang lain.



“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut kerjasama antara Genius Aulad dan MVM. Selama beberapa tahun kebelakangan ini, sumbangan melebihi RM23,000 telah memberi impak secara langsung kepada kanak-kanak dan remaja kurang bernasib baik,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Antara program komuniti yang telah dilaksanakan MVM dan Genius Aulad termasuk projek Feed The Future PPR, Smart Solat dan Kembali ke Sekolah.

PELAJAR Genius Aulad turut membuat persembahan pada program pelancaran kempen tersebut.
PELAJAR Genius Aulad turut membuat persembahan pada program pelancaran kempen tersebut.



Dalam perkembangan lain, Muhammad Hasbullah memaklumkan, pihaknya merancang untuk melancarkan kempen misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang kini sedang terhimpit dan menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

“Sempena Ramadan ini, kita akan menggerakkan kempen mengutip dana bagi membantu mereka mendapatkan makanan khusus untuk berbuka puasa.

“Kita sudah berhubung dengan rakan kerjasama di Palestin dan mereka sudah bersetuju untuk membantu menjayakan kempen ini,” katanya.