Cara terbaik ganti puasa jika terlupa bilangan hari ditinggalkan

JIKA terlupa bilangan hari ditinggalkan, perlu ambil jumlah maksimum kebiasaan bilangan hari keluarnya darah haid atau nifas untuk menggantikan puasa tersebut.
JIKA terlupa bilangan hari ditinggalkan, perlu ambil jumlah maksimum kebiasaan bilangan hari keluarnya darah haid atau nifas untuk menggantikan puasa tersebut.
A
A
A

RAMAI menganggap hanya wanita sahaja yang perlu berpuasa ganti. Hakikatnya, terdapat sebilangan kaum Adam wajib berbuat demikian bagi mereka yang meninggalkan puasa Ramadan disebabkan keuzuran tertentu.

Kepada Sinar Islam, pendakwah Ustaz Muhidin Mokter menyenaraikan empat golongan diwajibkan untuk mengqadakan puasa mereka.

Perinciannya adalah seperti berikut:

1. Orang sakit tidak mampu berpuasa - diwajibkan qada puasa yang ditinggalkan selepas sembuh.

2. Tidak berpuasa disebabkan dalam permusafiran jauh melebihi dua marhalah - sebenarnya, lebih baik jika orang yang dalam perjalanan tetap berpuasa.

3. Wanita tidak berpuasa kerana kedatangan haid atau nifas - wajib menggantikan puasa selepas suci.

4. Perempuan mengandung atau menyusukan anak - mereka dibenarkan untuk tidak berpuasa sama ada bimbang terhadap dirinya sendiri atau takut sesuatu terjadi kepada bayinya.

Bagi individu yang sudah meninggal dunia pula, jelas Muhidin, waris harus mengqadakan puasa mereka yang memiliki hutang berkenaan andai ia belum sempat digantikan walaupun si mati pada asalnya mampu berbuat demikian ketika hayatnya.

Artikel Berkaitan:

USTAZ MUHIDIN
USTAZ MUHIDIN

“Itulah pandangan sesetengah ulama Mazhab Syafie,” katanya baru-baru ini.

Bagaimana pula andai kita terlupa bilangan puasa yang ditinggalkan dan apa kaedah pengiraan disarankan agama?

Menjawab persoalan itu, penceramah tersebut menjelaskan, kita perlu yakin jumlah hari yang ditinggalkan untuk memastikan tanggungan kewajipan berkenaan terangkat.

“Jika terlupa bilangan hari ditinggalkan, maka perlu dikira dengan yakin berdasarkan kaedah pengiraan maksimum.

"Umpamanya, seorang wanita yang terlupa bilangan hari puasa ditinggalkan disebabkan keluar darah haid, maka dia perlu ambil maksimum kebiasaan bilangan hari hadas besarnya atau maksimum 15 hari. Bagi darah nifas pula, maksimum kebiasaan adalah 40 hari atau maksimum nifas pula 60 hari.

“Andai tidak pasti dan ragu-ragu sama ada tiga atau empat hari, maka ambillah empat hari, itu lebih diyakini,” terangnya panjang lebar.

Sempurnakan hingga selesai

Dalam pada itu, Muhidin mengingatkan agar mereka yang mengqadakan puasa supaya tidak sewenang-wenangnya membatalkan ibadah sedang dilaksanakan tanpa sebarang keuzuran syarie.

“Apabila seseorang telah memulakan dan berniat puasa qada, maka dia perlu menyempurnakannya hingga selesai kecuali disebabkan keuzuran dibenarkan syarak yang mengharuskan untuk membatalkannya,” tuturnya.

Beliau turut memperbetulkan salah faham sebilangan orang yang menganggap wajib berpuasa qada sekali ganda andai berlaku uzur syarie saat dirinya sedang menggantikan puasa Ramadan.

WANITA yang sedang berpuasa ganti kemudian batal disebabkan keluar darah haid perlu menggantikan ibadah itu sekali tanpa sebarang penggandaan bilangan puasa.
WANITA yang sedang berpuasa ganti kemudian batal disebabkan keluar darah haid perlu menggantikan ibadah itu sekali tanpa sebarang penggandaan bilangan puasa.

Ketahuilah bahawa puasa qada yang terbatal memberi maksud, tuntutan kewajipan ibadah berkenaan ke atas seseorang itu tidak terangkat, ungkapnya.

Disebabkan itu, beliau menjelaskan, menjadi tanggungjawab individu tersebut untuk menyempurnakannya.

“Seperkara lagi, perbuatan mengqada (puasa) bukanlah satu kewajipan baharu yang perlu diganti sebagaimana ibadah (puasa) yang asal. Oleh itu, kewajipan ke atas seorang yang meninggalkan puasa adalah hanya melibatkan ibadah yang ditinggalkan sahaja.

“Kegagalan menyempurnakan puasa qada tadi tidak memberi kesan kepada pertambahan kewajipan yang lain. Mudah kata, hanya wajib menggantikan satu puasa asal yang ditinggalkan sahaja,” katanya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Muhidin mengingatkan, orang yang culas dalam menggantikan puasa hingga meninggal dunia tanpa uzur syarie dikira berdosa.

Ini kerana katanya, ia dianggap sebagai hutang kewajipan kepada ALLAH SWT yang tidak ditunaikan.

“Meringan-ringankan untuk menggantikan puasa Ramadan bagi mereka yang sihat dan mampu berpuasa adalah satu kecuaian dalam menunaikan tanggungjawab agama dan dibimbangi kedatangan kematian secara mengejut sehingga tidak dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan,” ungkapnya.