Selangor antara lima negeri rekod jumlah keberadaan PATI tertinggi

Antara PATI yang ditahan JIM menerusi pelbagai siri operasi di seluruh negara. Gambar fail
Antara PATI yang ditahan JIM menerusi pelbagai siri operasi di seluruh negara. Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 20,880 operasi penguatkuasaan pendatang tanpa izin dijalankan di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 27 Februari lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah serbuan itu, Jabatan Imigresen (JIM) menahan 58,508 pendatang tanpa izin dan 871 majikan kerana kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, lima negeri merekodkan keberadaan pendatang tanpa izin tertinggi iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Jumlah serbuan dan tangkapan ini ialah manifestasi kepada konsistensi kita untuk menangani perkara ini,” katanya menjawab soalan V. Ganabatirau (PH-Klang) mengenai hasil serbuan terhadap lubuk pendatang tanpa izin di kawasan pedalaman Klang kerana jumlahnya masih tinggi, pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Saifuddin Nasution, di Klang sahaja, 36 serbuan dilakukan sejak dua bulan ini dengan 2,054 pendatang tanpa izin dan lapan majikan ditahan.

Beliau berkata, lapan lokasi panas dikenal pasti sebagai kawasan paling ramai pendatang tanpa izin di Klang antaranya Pasar Borong Klang, Pasar Besar Klang, Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman dan Kawasan Perindustrian Pulau Indah.

Menjawab soalan tambahan Ganabatirau sekiranya berlaku ketirisan dalam penguatkuasaan kerana warga asing dilihat masih ramai di sesebuah lokasi meskipun operasi telah dijalankan, Saifuddin Nasution berkata, hal ini kerana 80 peratus warga asing ditahan mempunyai dokumen yang sah.

"Untuk rekod, pekerja asing yang sah berada di negara kita, yang memegang pas lawatan kerja sementara jumlahnya 2.1 juta, jadi bila kita buat serbuan, kita tangkap, pertama yang kita lakukan kita buat pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

"Keadaannya ada yang tiada dokumen, tinggal lebih masa atau salah guna pas, ada juga yang bila kita periksa dia ada dokumen yang sah, jadi rekod kita sekarang bagi setiap 100 tangkapan kita dapati yang tidak lengkap dokumen, tinggal lebih masa, salah guna pas adalah sekitar 20 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai pertanyaan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai pendatang tanpa izin yang berniaga di negara ini, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu perlu ditangani semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28