Kes tembak Komander AKPS: Dua lagi lelaki ditahan

BUKIT KAYU HITAM - Dua lagi individu disyaki mempunyai kaitan terhadap kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, ditahan pada Jumaat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penahanan terbaharu membabitkan lelaki tempatan berusia 51 dan 58 tahun sekitar kawasan ini, menjadikan sembilan individu ditahan setakat ini.
"Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah baru saja laporkan kepada saya bahawa dua lagi tangkapan terbaru dilakukan malam tadi (Jumaat).
"Apabila kita mulakan siasatan awal pihak polis maklumkan kepada saya bahawa dua nama ini ditimbulkan oleh Komander yang merasakan untuk beberapa tempoh kebelakangan ini dia terasa diekori jadi dia huraikan personaliti rambutnya ikal mayang (contoh) jadi kita profilkan dan kita kenal pasti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan Lawatan Rasmi ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini pada Sabtu.
Sementara itu, apabila ditanya tentang tahap keselamatan pegawai yang disyaki menjadi sasaran, beliau menjelaskan, telah serah kepada Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain untuk mempertingkatkan kawalan serta-merta.
"Saya sudah beri arahan kepada Ketua Pengarah AKPS untuk meningkatkan kawalan ke atas pegawai kita yang dipercayai menjadi sasaran mana-mana pihak.
"Butiran langkah keselamatan itu saya serahkan kepada Datuk Seri Mohd Shuhaily untuk dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard sedia ada,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, polis menahan tujuh individu bagi membantu siasatan kes tembakan terbabit.
Adzli dalam kenyataan sebelum ini berkata, dua daripada tujuh individu yang ditahan didapati mempunyai kesan rembesan tembakan atau gunshot residue (GSR).
Menurutnya, kesan berkenaan dikesan hasil ujian forensik yang dijalankan ke atas suspek selepas mereka ditahan dalam empat serbuan berasingan pada Rabu.
Terdahulu, kenderaan Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ditembak dengan dua das tembakan pada awal pagi Rabu.
Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian jam 5.40 pagi itu.
Tembakan dilakukan suspek tidak dikenali berpakaian serba hitam menaiki motosikal ketika Mohd Nasaruddin sedang memandu kereta menghala ke Masjid Al Muhajirin untuk menunaikan solat Subuh.
Ringkasan AI
- Dua lagi individu ditahan berkaitan kes tembakan terhadap Komander AKPS Bukit Kayu Hitam
- Penahanan meningkatkan jumlah individu yang ditahan kepada sembilan
- Ketua Polis Kedah mengumumkan tangkapan tersebut
- Siasatan bermula dari komander yang merasa diekori
- Menteri Dalam Negeri arahkan peningkatan kawalan ke atas pegawai yang menjadi sasaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

