150 PBT diarah periksa bangunan seluruh negara

Nga Kor Ming menunjukkan keadaan sebuah bilik yang sempit pada Operasi Khas Ke Atas Premis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di Taman Maluri pada Khamis. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Nga Kor Ming menunjukkan keadaan sebuah bilik yang sempit pada Operasi Khas Ke Atas Premis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di Taman Maluri pada Khamis. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan semua 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara untuk melakukan pemeriksaan bangunan mulai Khamis bagi mengekang perniagaan bilik sewa ‘sangkar burung’ yang mengundang risiko kebakaran.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pemeriksaan akan dilakukan secara menyeluruh termasuk di kawasan rumah flat dan apartmen di bandar terutama di 20 bandar raya yang dikenal pasti berlakunya perniagaan sebegitu.

“Serbuan mengejut hari ini menghantar mesej yang sangat jelas kepada semua pihak (bahawa isu bilik sewa ini) seperti bongkah ais di mana hanya hujungnya nampak di permukaan air.

“Oleh kerana itu, mulai hari ini semua PBT akan memeriksa bangunan-bangunan yang didapati berisiko mengundang bahaya kebakaran,” katanya ketika sidang akhbar selepas serbuan di Cheras di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Kor Ming memberitahu, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang juga akan dijalankan secara berterusan di kawasan yang dikenal pasti.

Katanya, hasil serbuan itu didapati premis terbabit melakukan banyak kesalahan dari segi Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) dan akta PBT termasuk dari segi risiko kebakaran.

“Statistik kebakaran bangunan di negara ini dari 2019 hingga Ogos lalu menunjukkan kes kebakaran kedai sahaja merekodkan sebanyak 43 kes.

“Dalam tempoh sama juga, kes kebakaran melibatkan asrama dan rumah tumpangan sebanyak 13 kes jadi kita tidak mahu lagi kejadian kebakaran seperti kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa berlaku lagi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menggesa jiran dan orang sekeliling melaporkan segera kepada pihak bomba atau KPKT jika menyedari atau tahu mengenai kewujudan bilik sewa sempit seperti itu di kawasan masing-masing.

Bilik sewa sangkar burung wujud kerana permintaan tinggi

Sementara itu, Kor Ming berkata, isu bilik sewa sangkar burung terus berleluasa di negara ini kerana terdapat permintaan terutama daripada golongan pekerja berpendapatan rendah.

Hal ini sekali gus menyebabkan segelintir pemilik premis tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyediakan bilik seumpama itu untuk disewakan, katanya.

Menurutnya, isu itu bersifat dua hala, ada permintaan bermakna ada bekalan.

“Penyewa juga perlu bertanggungjawab dalam memilih kediaman yang lebih mengutamakan aspek keselamatan berbanding bilik sewa sangkar burung.

“Kerajaan telah menyediakan banyak kemudahan dan opsyen kediaman antaranya seperti rumah transit, rumah belia, rumah mampu milik dan Program Perumahan Rakyat (PPR). Sewajarnya penyewa memilih kemudahan tersedia dalam memilih kediaman,” ujar beliau.

Tegas beliau lagi, kerajaan mengambil serius isu membimbangkan ini dan komited untuk membela nasib rakyat.

Jelas Kor Ming, pihaknya turut tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang mengubah suai premis sesuka hati tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Saya memberi amaran tegas kepada pemilik-pemilik premis yang mengambil mudah soal kesihatan awam dan nyawa manusia, untuk segera menghentikan pengubahsuaian tanpa nasihat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kebanyakan penyewa bilik sangkar burung ialah pelajar institusi pengajian tinggi dan pekerja gig seperti penghantar makanan.

Mereka tiada pilihan kerana mempunyai sumber pendapatan terhad ditambah kos sara hidup yang tinggi di Lembah Klang.