Surat aktivis: KSM jalankan operasi seluruh negara

V Sivakumar
V Sivakumar
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menjalankan operasi di seluruh negara susulan surat seorang aktivis hak migran kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) berhubung nasib pekerja Bangladesh di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, operasi itu bagi memastikan tiada unsur seperti didakwa dalam surat berkenaan berulang termasuk isu persekitaran tidak kondusif dan golongan pekerja asing dibelenggu hutang.



"Memang saya serius mengenai perkara-perkara ini sebab saya mahu mengelakkan semua yang berlaku di luar daripada (melanggar) undang-undang.



"Saya juga mahu supaya sesiapa sahaja yang terlibat dalam hal ini supaya tidak mengulangi perkara-perkara seperti ini dan kita mahu hindari daripada berlakunya unsur buruh paksa di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jelajah MADANI Bersama Menteri Sumber Manusia siri ketiga di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Gombak, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media tempatan mengenai aktivis Andy Hall yang menulis surat kepada OHCHR, sebuah badan di bawah Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) di Switzerland, mendakwa ratusan warga Bangladesh dibelenggu hutang dan tanpa pekerjaan di negara ini.

Gambar hiasan
Gambar hiasan



Menyentuh mengenai isu rakyat Malaysia yang sering terperdaya dengan scam atau penipuan pekerjaan di luar negara, Sivakumar berkata, pihaknya akan terus memberikan penerangan dan peringatan agar rakyat, khususnya golongan belia, mendapatkan kepastian dan tidak terpengaruh dengan janji ‘bulan dan bintang’ ejen.

Beliau berkata, KSM menerusi Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) juga sedang menjalankan pelbagai usaha untuk memastikan pelajar mengetahui potensi pekerjaan di negara ini, selain mewujudkan lebih banyak peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar mereka tidak bergantung kepada luar negara.

Sivakumar turut memaklumkan permohonan kemasukan ke 1,334 institusi TVET di seluruh negara untuk sesi Januari 2024 telah dibuka, bermula 30 Oktober lepas hingga 13 November ini.

Artikel Berkaitan:


"Saya memohon golongan belia merebut peluang untuk menceburi bidang TVET kerana kursus ditawarkan disesuaikan mengikut keperluan pasaran guna tenaga, sekali gus menjamin peluang pekerjaan pada masa depan,” katanya.

Menurut Sivakumar, kerajaan telah mengarusperdanakan latihan kemahiran TVET sebagai pilihan utama dengan membuka luas peluang latihan kemahiran kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan status sosioekonomi.

Mengenai progam hari ini, beliau berkata lebih 1,000 pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja melibatkan 10 majikan dan ia merupakan usaha berterusan kerajaan bagi memastikan pencari kerja termasuk golongan rentan di Selangor mendapat peluang pekerjaan dari pelbagai sektor.

Pada program itu, sebanyak 150 bakul makanan diagihkan kepada golongan memerlukan dan 10 komputer riba diberikan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan. - Bernama