Aedes: 200 kompaun bernilai RM100,000 dikeluarkan di Terengganu

Daripada 31,337 premis yang diperiksa, sebanyak 649 premis dikesan terdapat pembiakan jentik-jentik. Gambar hiasan
Daripada 31,337 premis yang diperiksa, sebanyak 649 premis dikesan terdapat pembiakan jentik-jentik. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan 200 kompaun bernilai RM100,000 melibatkan pembiakan nyamuk aedes di premis-premis diperiksa di sekitar negeri ini sehingga minggu epidemiologi (ME) kelapan 2024.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong memaklumkan sehingga kini sebanyak 168 kompaun telah dibayar merangkumi kutipan berjumlah RM17,490.

"Sepanjang tempoh itu, kita telah memeriksa sebanyak 31,337 premis di sekitar negeri ini.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 649 premis dikesan positif terdapat pembiakan jentik-jentik nyamuk," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, bagi kes demam denggi, Terengganu merekodkan sebanyak 60 kes dari Januari hingga 24 Februari berbanding hanya 49 kes dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Menurutnya, ia adalah peningkatan sebanyak 11 kes atau 22.4 peratus.

Beliau menambah, dalam tempoh sama juga, sebanyak dua episod wabak denggi dilaporkan di Terengganu iaitu di Kampung Gaung Lubuk Kawah di Besut dan Taman Bukit Indah di Marang, namun terkawal.

Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata, sebanyak 19,604 premis telah dibuat semburan kabus setakat ini manakala 29,514 premis pula terlibat dengan semburan larvasiding.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara faktor peningkatan kes demam denggi di negeri ini disebabkan kurang kesedaran mengenai tanggungjawab bagi memastikan kebersihan di kawasan persekitaran.

"Jadi kita berharap pihak berkuasa tempatan akan mengadakan program gotong-royong bersama masyarakat setempat bagi mencegah kawasan pembiakan nyamuk aedes di kawasan berisiko.

"Setakat ini, sebanyak 66 siri gotong-royong telah diadakan bagi mencari dan memusnahkan sarang pembiakan tersebut," ujarnya.