Gambar tular 'kawah dalam laut' di Pantai Batu Buruk kurang tepat

Gambar ilustrasi kawah dalam laut di Pantai Buruk yang tersebar media sosial, baru-baru ini kurang tepat. Foto media sosial (Gambar kecil: Effi Helmy)
Gambar ilustrasi kawah dalam laut di Pantai Buruk yang tersebar media sosial, baru-baru ini kurang tepat. Foto media sosial (Gambar kecil: Effi Helmy)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gambaran mengenai keadaan kawah dalam laut di Pantai Batu Buruk yang tular di media sosial susulan kes lemas baru-baru ini tidak menggambarkan situasi sebenar dan dikhuatiri akan mengelirukan orang ramai.

Pensyarah Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Effi Helmy Ariffin berkata, apa yang berlaku di Pantai Batu Buruk berbeza dengan gambaran sebenar 'Seabed Crater' atau juga dikenali sebagai kawah dalam laut.

Jelas beliau, terdapat beberapa bahagian dasar laut di Pantai Batu Buruk yang agak dalam namun ia berbeza dengan keadaan sebenar kawah dalam laut.

"Seabed Crater boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai proses termasuk impak daripada angkasa, aktiviti gunung berapi, runtuhan dan aliran lumpur dasar laut.

"Kawah dalam laut juga boleh terbentuk melalui gerakan cerun, penggalian semasa letupan dan kegagalan disebabkan oleh pemadatan bawah permukaan yang berlaku berkaitan dengan terobosan sedimen dan bendalir," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak dinafikan kawah dalam laut boleh terbentuk oleh pusaran air yang kuat namun ia jarang berlaku di Malaysia kerana suhu air laut dan udara tidak jauh berbeza sehingga boleh membentuk pusaran seperti puting beliung di darat.

"Biasanya ketika musim tengkujuh, dasar laut akan dipenuhi dengan pelbagai beting pasir dan ada juga tiada beting pasir (kelihatan seperti kawah) kerana faktor yang sangat dinamik iaitu pengaruh dari ombak, arus dan pasang surut.

"Bagaimanapun, keadaan dasar ini akan kembali kepada situasi asal semasa musim tenang nanti," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, bahagian dasar laut yang dalam seperti di Pantai Batu Buruk berbahaya untuk sebarang aktiviti riadah di laut kerana membawa risiko kematian akibat lemas.

Katanya, dasar laut yang dalam boleh berlaku di mana-mana kawasan pantai apabila wujudnya kawasan beting pasir atau sedimen yang terbenam atau separa terdedah yang terbentuk oleh ombak dan arus berhampiran pantai.

"Beting pasir banyak terbentuk ketika musim ribut akibat dari hakisan di pantai yang membawa pasir ke dalam laut menyebabkan terjadinya beting pasir ribut. Formasi beting pasir juga boleh berbeza dari segi saiz, beberapa sentimeter hingga struktur setinggi enam meter.

"Kesannya ialah kawasan yang tidak mempunyai beting pasir adalah lebih dalam (seperti di Pantai Batu Buruk) namun ia bukanlah kawah dalam laut (seabed crater)," ujar beliau.

Pada 19 Februari lalu, seorang lelaki dari Petaling Jaya, Selangor ditemukan lemas di Pantai Batu Buruk selepas dihanyutkan arus kuat ketika mandi-manda di kawasan berkenaan.

Mayat lelaki tersebut ditemukan terapung oleh nelayan berhampiran Pulau Gemia di Marang dengan jarak kira-kira 16 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28