Tak gusar akaun media sosial disekat demi solidariti Palestin

Keadaan bangunan di Gaza musnah diserang tentera Israel. Foto: AFP
Keadaan bangunan di Gaza musnah diserang tentera Israel. Foto: AFP
A
A
A

SEHINGGA ke hari ini, krisis pergolakan di bumi Palestin menjadi bual bicara dan mendapat perhatian orang ramai tanpa mengira warna kulit dan agama.

Malaysia merupakan salah satu negara Islam yang memberi sokongan penuh bermula daripada kerajaan sehinggalah masyarakat terhadap perjuangan Hamas untuk melawan kekejaman Israel.

Keseriusan rakyat Malaysia membantu Palestin melawan agenda Zionis melalui ‘peperangan media’ tidak kurang hebatnya apabila mereka mewujudkan tanda palang #IsraelCuak.

Segala berita mengenai kekejaman Israel dikongsi di semua platform media sosial dengan tanda palang tersebut bagi membuka mata individu yang memihak kepada kerakusan Israel membunuh dan menghancurkan kediaman warga Palestin.

Bagaimanapun, segala usaha yang dilakukan oleh rakyat Malaysia dalam melancarkan peperangan media telah menyebabkan kebanyakan pemilik akaun disekat akibat berkongsi hantaran berkaitan kekejaman Zionis.

Hampir kesemua platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan X melakukan sekatan atau memberi amaran kepada mana-mana individu yang bertindak untuk berkongsi atau menghantar semula hantaran berkaitan Palestin.

Pun begitu, amaran sekatan atau menghapus secara total akaun media sosial ternyata tidak mendatangkan kegusaran orang ramai kerana bagi mereka menyampaikan kebenaran dan meningkatkan kesedaran terhadap kekejaman zionis adalah lebih bermakna.

Antara artis dan pempengaruh (influencer) tempatan yang turut bersama-sama bersolidariti ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noor Neelofa Mohd Noor, Kavita Sidhu, Diana Danielle, Sharnaaz Ahmad, Daiyan Trisha, Nadiyah Shahab, Khairul Aming, Dahlia Rizal serta Sabrina.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ada juga pempengaruh yang mengambil pendekatan berdiam diri tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan dan sokongan terhadap jenayah perang yang dilakukan Israel.

Tindakan berdiam diri itu telah menyebabkan netizen menyelar dan menyifatkan pempengaruh itu tidak mempunyai sikap belas ihsan terhadap situasi Palestin kini.

Rata-rata mereka menyifatkan tindakan pempengaruh berkenaan tidak peka terhadap nasib yang menimpa warga Palestin dan takut sekiranya akaun media sosialnya dikenakan sekatan.

Antara isu yang dibangkitkan adalah sebagai seorang pempengaruh dengan ratusan ribu pengikut, mereka sepatutnya menggunakan kelebihan iaitu untuk menyebar luas informasi berkenaan kekejaman Israel terhadap Palestin.

Umum mengetahui, dengan cara sedemikian segala maklumat berkaitan dapat disampaikan dan dipanjangkan lebih pantas dan meluas kerana kebanyakan pengikut seseorang itu terdiri daripada pelbagai warganegara.

Bagaimanapun, warga maya beranggapan bahawa pempengaruh itu enggan membuat sebarang perkongsian berkaitan keganasan rejim Zionis kerana khuatir akan kehilangan tempat untuk ‘mencari makan’.

Dalam situasi ini, kita sebagai pengguna media sosial perlu berfikiran dengan bijak, rasional dan menghormati pendirian seseorang itu kerana setiap tindakan yang dilakukan itu sudah semestinya dibuat dengan alasan kukuh.

Sebagai contoh, sebahagian daripada mereka menggunakan media sosial sebagai tempat bergantung iaitu dengan menjadikan ia sebagai platform membina kepercayaan, hubungan dan mendapatkan pendapatan.

Apabila akaun media sosial dikenakan sekatan, mereka secara tidak langsung telah kehilangan pengikut sekali gus sumber menjana pendapatan.

Orang ramai perlu memikirkan bahawa tidak mudah bagi seseorang itu mengumpul pengikut dan mendapatkan kepercayaan ramai untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

Dalam hal ini, mereka mungkin mempunyai pendekatan yang berbeza dalam membantu Palestin untuk berhadapan dengan kekejaman Israel antaranya melalui doa.

Ini kerana dalam al-Quran surah al-Ghafir ayat ke-60 menyatakan “Berdoalah kepadaKu, Aku (ALLAH) akan memperkenankan doa permohonan kamu.”

Selain daripada peperangan media, ini membuktikan bahawa doa merupakan senjata paling tajam yang boleh kita sumbangkan kepada saudara Islam di Palestin.