Kerajaan perlu laksana dasar ekonomi konkrit kukuhkan ringgit

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempunyai rancangan komprehensif bagi memastikan kestabilan mata wang ringgit sekali gus memperbaiki kedudukan sebagai peneraju ekonomi serantau. Gambar kecil: Lawrence
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempunyai rancangan komprehensif bagi memastikan kestabilan mata wang ringgit sekali gus memperbaiki kedudukan sebagai peneraju ekonomi serantau. Gambar kecil: Lawrence
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyediakan dan melaksanakan dasar ekonomi yang lebih konkrit bagi mengurangkan kesan kelemahan ringgit terhadap kehidupan rakyat di negara ini.

Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low Ah Keong berkata, hala tuju dasar yang jelas dan realistik berupaya menggiatkan semula aktiviti ekonomi bagi mengukuhkan semula nilai mata wang ringgit.

Menurutnya, dengan meningkatkan kadar eksport dan mewujudkan polisi yang bersesuaian dengan keadaan semasa, ia mampu membina pasaran berdaya tahan.

“Kerajaan menyediakan mekanisme yang boleh dipercayai untuk perniagaan domestik menguruskan risiko pertukaran asing dan menyediakan fleksibiliti mata wang lebih besar untuk menarik pelaburan asing.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempunyai rancangan komprehensif bagi memastikan kestabilan mata wang ringgit sekali gus memperbaiki kedudukan sebagai peneraju ekonomi serantau.

“Hala tuju dan rancangan pembangunan ini mesti diiktiraf oleh pelabur asing, jika tidak kerajaan akan terjerumus ke dalam kesusahan dan tidak mendatangkan faedah sebenar kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, mata wang tempatan merekodkan prestasi lemah setakat 9 pagi Selasa dengan ringgit berkurangan kepada 4.787/7930 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.785/7890 semasa ditutup pada Isnin.

Kali terakhir paras ringgit terendah dicatatkan pada 1998 apabila krisis kewangan Asia menjejaskan mata wang serantau dengan RM4.885 setiap dolar AS.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Lawrence, kejatuhan nilai ringgit telah memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat dan menjejaskan operasi perniagaan kerana dasar cukai yang diperkenalkan tidak membantu meningkatkan pasaran serta pelaburan asing.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Ekonomi dan Hal Ehwal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MCA berkata, barisan menteri Kabinet seolah-olah gagal membendung aliran keluar pelaburan asing daripada pasaran saham dengan berkesan.

“Sepanjang tahun lalu, dalam menghadapi sebarang cabaran ekonomi, kerajaan bertindak balas dengan alasan dan analisis, atau ramalan serta perbincangan keyakinan yang terlalu optimistik.

“Apa yang rakyat mahukan bukanlah jaminan kosong, tetapi dasar yang tegas untuk menyelesaikan masalah yang mendesak ini,” katanya.