PM digesa perjelas kedudukan ringgit di Parlimen - Hassan

Hassan
Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memberi penjelasan mengenai kedudukan ringgit yang semakin merosot ketika ini pada sesi Parlimen yang akan bersidang minggu depan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, penjelasan tersebut penting bagi memberi gambaran sebenar kepada rakyat susulan kejatuhan nilai mata wang negara hingga mengundang cemas.

Menurutnya, sebagai ahli Parlimen yang menjadi tulang belakang kerajaan, ia bukan bertujuan memburukkan keadaan dengan menuding jari dan mencari kesalahan serta kelemahan kerajaan.

“Saya berhak untuk meminta Anwar yang juga Menteri Kewangan supaya secara rasmi menjelaskan dua perkara iaitu mengapa kedudukan ringgit begitu lemah sekarang ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura (SGD).

“Kedua, dan yang terpenting iaitu apakah tindakan segera kerajaan untuk atasi kejatuhan ringgit dan menyelamatkan ekonomi negara?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada Selasa, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dilaporkan berkata, prestasi semasa ringgit dipengaruhi oleh faktor luaran sama seperti mata wang serantau lain.

Jelasnya, sebahagian daripada faktor itu termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah AS, kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China.

Menurut beliau, pertumbuhan pada 2024 akan dipacu oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Anwar memaklumkan segala persoalan mengenai prestasi ringgit akan dijawab oleh Abdul Rasheed.

Katanya lagi, ia berikutan Abdul Rasheed sudah berjanji untuk menjelaskan mengenai perkara tersebut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!