MIDF Research unjur ringgit lebih kukuh pada 2024

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MIDF Research menjangkakan ringgit akan mengukuh tahun ini apabila Rizab Persekutuan (Fed) AS (Amerika Syarikat) mengubah pendirian dasarnya untuk menurunkan kadar faedah.

Dalam penyelidikan hari ini, ia berkata, kelemahan ringgit berbanding dolar AS baru-baru ini dipengaruhi oleh sentimen pasaran yang berubah kerana keluaran data ekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan membawa kepada kajian semula mengenai tarikh untuk pengurangan kadar oleh Fed.

MIDF Research berkata, daya tahan dalam pasaran pekerjaan AS dan ekonomi yang lebih luas akan menyebabkan Fed mengekalkan pendirian dasar menaikkan kadar faedah bagi tempoh lebih lama sebelum menurunkan kadar faedah akhir tahun ini dalam persekitaran jangkaan inflasi terus menyederhana.

"Ini adalah risiko penurunan kepada prospek ringgit kerana dolar AS akan kekal kukuh untuk tempoh yang lama," katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpendapat mungkin terdapat perubahan struktur lain yang boleh menjelaskan kelemahan ringgit setakat ini dan tidak dipengaruhi oleh pergerakan kadar AS.

"Sebagai contoh, kami melihat perubahan dalam komposisi perdagangan luar (kedua-dua barangan dan perkhidmatan), pengurangan pegangan asing bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) (berbeza dengan hutang kerajaan yang semakin meningkat) dan perubahan corak dalam pegangan mata wang asing.

"Kami yakin faktor-faktor ini mempunyai pengaruh terhadap pergerakan ringgit dalam jangka panjang berbeza dengan perubahan dalam sentimen pasaran yang sering digunakan sebagai alasan untuk pergerakan dalam pelaburan mata wang asing (Forex) dalam tempoh jangka pendek," katanya.

MIDF Research juga percaya komitmen kerajaan dalam penyatuan fiskal dan menambah baik pengurusan fiskal akan menyokong prestasi ringgit bagi jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Pergerakan ringgit juga dipengaruhi oleh aliran dana dalam negara, kata MIDF Research.

"Kami mendapati bahawa aliran masuk ke dalam pasaran ekuiti (berbanding aliran keluar daripada pasaran bon) mungkin berada di sebalik pengukuhan ringgit pada Disember tahun lepas. Aliran dana ini dipengaruhi oleh peralihan sentimen pasaran ke arah jangkaan yang semakin meningkat untuk pengurangan kadar faedah oleh Fed pada 2024,” katanya.

Selepas pandemik, MIDF Research berkata, pasaran bon mencatatkan aliran keluar pertama dalam empat tahun pada AS$5.8 bilion apabila kenaikan kadar faedah secara agresif oleh Fed pada 2022 mengurangkan minat daripada pasaran bon.

Pasaran bon memperoleh minat pada 2023, mencatat aliran masuk AS$3.2 bilion apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menstabilkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahap prapandemik manakala penarafan kredit Malaysia kekal stabil.

Bagi pasaran ekuiti Malaysia, MIDF Research berkata, ia telah menyaksikan kembali minat terhadap pasaran itu pada 2022 apabila ekonomi dibuka semula, mencatatkan aliran masuk pertama dalam tempoh empat tahun berjumlah AS$1.1 bilion.

"Kelemahan ringgit boleh dikaitkan dengan perubahan struktur dalam sektor perdagangan luar Malaysia dan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terutamanya eksport bersih yang lebih kecil untuk produk utama dan pendedahan lebih tinggi kepada penyumbang defisit perdagangan dari segi perdagangan dengan pasaran utama seperti China.

"Pada asasnya, bahagian eksport barangan dan perkhidmatan kepada KDNK Malaysia kekal di bawah 80 peratus sejak 2012. Nisbah itu melebihi 80 peratus dari 1994-2011 dan sebenarnya melepasi 100 peratus pada 1998-2007,” katanya.

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu berkata, nisbah eksport bersih kepada KDNK berada pada kadar dua digit untuk tempoh 14 tahun sejak 1998.

"Peralihan struktur makroekonomi daripada berorientasikan eksport kepada didorong domestik adalah antara faktor yang membawa kepada peralihan ini terutamanya selepas Krisis Kewangan Asia 1997-1998. Kami juga melihat perubahan struktur dalam sektor perdagangan luar Malaysia dari segi produk dan rakan dagangan,” katanya.

Disebabkan lokasi dan juga sebahagian daripada rangkaian pengeluaran serantau, ia berkata Malaysia kini lebih terdedah kepada ASEAN dan China.

"Sementara itu, bahagian eksport dengan AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun masing-masing turun kepada 11.3 peratus, 7.9 peratus dan 6.0 peratus tahun lepas. Peralihan itu bukan sahaja mengenai perubahan destinasi perdagangan tetapi turut menjelaskan perubahan daripada menjadi punca lebihan kepada penyumbang defisit.

"Malaysia pernah dan kini sedang merekodkan lebihan dagangan dengan AS, EU dan Jepun. Bagaimanapun, bagi perdagangan dengan China, Malaysia mencatatkan nisbah defisit dua digit bagi imbangan perdagangan kepada nilai eksport,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28